Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa ahli-ahli parlimen membincangkan reformasi penting yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan (KPK) bagi menambah baik sistem penjagaan kesihatan negara.

Bakal Presiden MMA, Dr Thiryunavakarasu Rajoo, mengakui pentingnya libat urus dengan pihak berkepentingan, namun menegaskan bahawa HWP sudah pun mengandungi kerangka yang diperlukan untuk memperkukuh sektor kesihatan.

"Isunya di sini, semua orang tahu masalah dan penyelesaiannya, (tetapi) KPK itu hanya tersimpan begitu sahaja walaupun keseluruhan kerangkanya sudah ada.

"Kita perlu tanya ahli-ahli Parlimen kita, kenapa mereka tidak membawa (perkara yang terkandung dalam) KPK ke Parlimen dan membahaskannya di sana," katanya semasa menjadi ahli panel dalam satu forum di Universiti Malaya (UM) hari ini.

Menurutnya, tanpa pelaksanaan kerangka KPK yang sewajarnya oleh pihak kerajaan, rakyat terpaksa terus-menerus menganjurkan perbincangan bagi menangani isu-isu berkaitan sistem kesihatan.

"Kita boleh adakan ratusan forum, tetapi kita juga perlu mendesak agar kerangka ini dilaksanakan," katanya.

Forum tersebut yang bertajuk "Counting the Cost of Care: Can Malaysia Make Healthcare Affordable Again?" dianjurkan oleh sebuah jawatankuasa yang diketuai pelajar, sebagai kesinambungan kepada Forum Penjagaan Kesihatan Negara yang telah diadakan awal tahun ini.

KPK merupakan pelan strategik Kementerian Kesihatan yang bertujuan merombak sistem kesihatan Malaysia dalam tempoh 15 tahun dari 2024 hingga 2039.

Dilancarkan pada tahun 2022, ia menggariskan perubahan struktur jangka panjang, khususnya dalam menangani cabaran sistemik dalam sektor kesihatan serta mencadangkan reformasi dalam aspek penyampaian perkhidmatan, pembiayaan dan tadbir urus.

Kertas ini telah melalui beberapa pencapaian penting pada Jun 2023 apabila mendapat kelulusan kabinet dan dibentangkan di Parlimen oleh bekas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, sebelum diluluskan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS