Walaupun negara ini berbilang kaum tetapi kepimpinannya mestilah dari kalangan orang Melayu dan kaum lain mesti menerimanya, kata Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin.

"Tiada siapapun yang perlu mempertikaikan perkara ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian perhimpunan agung Umno oleh presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.

Zainuddin berkata, Perdana Menteri telahpun menyebut perkara itu dalam ucapannya sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, malangnya sesetengah pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) turut mengikut tindakan DAP mempertikaikan perkara tersebut.

"Mereka kena tahu semangat Melayu. DAP tiada semangat Melayu kerana mereka lahir dari Parti Tindakan Rakyat (PAP," katanya.

Sementara itu, Zainuddin berkata, kerajaan tidak pernah berniat untuk campurtangan dan mengancam dalam urusan kebebasan media di negara ini.

"Jangan kata kerajaan yang mengancam kebebasan media, yang menyaman media bukan kerajaan.

Majlis Media

"Siapa bunuh akhbar? orang-orang politik seperti Lim Kit Siang dan syarikat-syarikat perniagaan," katanya ketika ditanya mengenai tahap kebebasan media di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, penubuhan Majlis Media perlu untuk menentukan kebebasan akhbar di negara ini.

"Orang media yang mengawal Majlis Media, dan bukannya kerajaan atau pihak-pihak lain.

"Kalau ada pengaduan mengenai media dan kebebasan media, boleh bawa untuk diselesaikan di Majlis Media," katanya lagi.

Zainuddin berkata, penubuhan Majlis Media boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja tetapi majlis itu perrlu mempunyai aktanya sendiri.

Menurutnya, sebelum ini beliau pernah mengemukakan cadangan penubuhan Majlis Media kepada Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) tetapi kesatuan itu salahanggap dengan penubuhannya.

Katanya, beliau hanya mempercayai NUJ dalam memperjuangkan isu kebajikan media di negara ini. Zainuddin adalah bekas presiden NUJ.