Wanita gesa pinda perlembagaan jadikan Islam agama rasmi
Pergerakan Wanita menggesa supaya dibuat pindaan kepada Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan perkataan "rasmi" untuk menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Pergerakan Wanita menggesa supaya dibuat pindaan kepada Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan perkataan "rasmi" untuk menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Artikel tersebut menyebut perlembagaan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan.
Wakil pergerakan itu, Datuk Hajah Kamilia Ibrahim berkata, pindaan itu perlu supaya tidak ada pihak yang mempertikaikan Islam sebagai agama rasmi negara ini.
"Kita mahu memperjelaskan kepada mereka yang banyak mempertikaikan tentang agama Islam, sedangkan mereka tidak mempunyai kuasa dan kefahaman (mengenainya)," katanya ketika membahaskan ucapan perasmian presiden Umno di PTWC hari ini.
Pergerakan Wanita, katanya, juga mahu tindakan diambil untuk menggubal undang-undang supaya agama lain tidak menyebarkan agama mereka kepada orang beragama Islam.
Kamilia berkata, pihaknya membuat gesaan tersebut supaya perancangan dan perencanaan oleh presiden parti dapat dilaksanakan dengan licin dan sempurna dan tidak timbul apa-apa pertikaian mengenai perkara-perkara asas dalam perlembagaan.
Cabaran kaum
"Dalam kontek negara Islam dan kontek menghadapi cabaran kaum bukan Islam, Wanita mencadangkan supaya akta pentadbiran agama bukan Islam diwujudkan agar agama bukan Islam dapat diuruskan agar mereka ada peraturan dan undang-undang spesifik agar tidak ada tempat ibadat (dibina) di merata tempat," katanya.
Sehubungan itu, katanya, Wanita Umno mengingatkan pihak-pihak berkenaan supaya tidak menjadikan isu perundangan dan isu alam sekitar sebagai isu perkauman.
"Jangan lupa, banyak kerusi Umno yang telah dikorbankan kepada rakan-rakan dalam Barisan Nasional...jangan kacang jangan lupakan kulit...," katanya.
Wanita Umno juga, tambahnya, mencadangkan penubuhan majlis tindakan undang-undang untuk memantapkan perundangan yang ada terutama untuk tujuan penguatkuasaan, keadilan dan kesaksamaan.
Mengenai perpaduan kaum, Kamilia juga menegaskan perlunya digubal satu akta perpaduan kaum di negara ini.
"Walaupun ada yang kata undang-undang tidak akan selesai segala masalah tetapi undang-undang dapat mengurus dengan baik apa-apa yang kita laksanakan," katanya.

