PKR hari ini memaklumkan mereka belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk menyertai parti berkenaan.
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh juga berkata jika permohonan rasmi daripada menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu nanti, proses yang dilaluinya adalah sama seperti orang lain.
Kata Fuziah setiap permohonan untuk menganggotai PKR dibuat secara atas talian.
“Selepas permohonan dibuat, ia akan diproses dan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR.
“Permohonan tersebut akan dipertimbangkan sewajarnya sebelum keputusan dibuat dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang, termasuk pandangan rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan serta pendapat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul yang juga seorang senator semalam mengumumkan keputusannya meninggalkan Umno dan bercadang menyertai PKR.
Katanya, ia bukanlah keputusan yang mudah dan dibuat selepas mendapatkan pandangan serta nasihat daripada rakan-rakan lain sama ada di luar mahupun dalam Umno.
Sebelum ini Tengku Zafrul – yang lebih dahulu dikenali sebagai tokoh perbankan – merupakan anggota Majlis Kerja Tetinggi Umno dan mengetuai Umno Kota Raja di Selangor.
Bagaimanapun pengumuman Tengku Zafrul itu segera mendapat pelbagai reaksi khususnya daripada Umno sendiri yang menunjukkan rasa tidak senang parti berkenaan.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, malam tadi berkata parti tersebut memandang serius niat Tengku Zafrul dan berasakan tidak wajar untuk mana-mana parti yang bersama dalam kerajaan menerima kemasukan berkenaan dengan sewenang-wenangnya.
“Ini bagi mengelakkan berlakunya ketidakharmonian dalam kalangan parti-parti dalam gabungan kerajaan perpaduan sehingga tercetus pula prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap kesetiakawanan, keikhlasan dan kejujuran sesama sendiri dalam kalangan ahli akar umbi,” katanya.
Menurut Fuziah dia dimaklumkan yang Tengku Zafrul akan menunaikan haji pada kali ini.
“PKR mendoakan agar beliau selamat pergi dan kembali, serta memperoleh haji yang mabrur,” katanya.
