Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Semua orang berhak memilih jalan mereka...'
Diterbitkan:  May 31, 2025 12:42 PM
Dikemaskini: 4:43 AM

Berbeza dengan nada marah dan kecewa kebanyakan pemimpin, Mohamad Hasan hari ini tampil mengulas langkah terbaru Tengku Zafrul Abdul Aziz dengan pendekatan berbeza.

Bagi Timbalan Presiden Umno itu, apa yang dilakukan oleh menteri pelaburan, perdagangan dan industri terbabit bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau luar biasa.

Kata Mohamad, ia adalah sebahagian daripada dinamika politik semasa yang sifatnya semakin terbuka dan rencam.

“Semua orang berhak memilih jalan mereka – dan kami (Umno) pilih untuk terus bergerak ke hadapan, fokus membina semula kekuatan parti, dan memperjuangkan nasib rakyat,” katanya dalam kenyataan umum disiarkan di media sosialnya.

Menteri luar itu mengulas pengumuman Tengku Zafrul malam tadi yang menghantar surat untuk meninggalkan Umno dan memohon untuk menyertai PKR.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata langkah berhati-hati perlu diambil bagi mengelak berlaku sebarang isu yang boleh menjejaskan keharminian dalam kalangan parti kerajaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, pula mendesak agar Umno memberi teguran kepada Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR.

PKR pula menegaskan, mereka belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Tengku Zafrul.

Bukan sehari dua

Kata Mohamad dia memang menghormati keputusan Tengku Zafrul untuk berundur daripada Umno dan memilih arah politik yang lebih dekat dengan pandangan peribadinya.

Sepanjang bersama dalam kerajaan atas tiket Umno, tambah Mohamad, senator terbabit banyak memainkan peranan sebagai teknokrat yang menyumbang dalam bidang ekonomi dan kewangan.

Justeru, katanya, Umno mengucapkan terima kasih atas segala sumbangan Tengku Zafrul.

Tengku Zafrul Abdul Aziz

Pada masa sama Mohamad menegaskan Umno tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu.

“Kita adalah sebuah parti yang dibina atas kekuatan akar umbi, semangat perjuangan, dan keyakinan rakyat, bukan pada nama atau kedudukan.

“Orang datang dan pergi, itu lumrah dalam politik. Yang penting, perjuangan ini mesti diteruskan,” katanya.

Justeru, kata Mohamad, dia menyeru agar ahli dan penyokong Umno supaya jangan goyah akibat tindakan seorang dua dalam parti itu.

Katanya Umno bukan baru dibina sejak sehari dua lalu dan ia juga tidak diangkat kerana seseorang sebagai tokohnya.

Lebih daripada itu, katanya, Umno mempunyai misi yang lebih besar iaitu menyatukan, memperbaiki, dan memulihkan kepercayaan rakyat kepada parti berkenaan.

“Saya doakan yang terbaik buat Tengku Zafrul, dan kita doakan yang lebih baik untuk Umno,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS