Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amirudin: Minta Zafrul doa saya kekal MB Selangor

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, menepis khabar angin dia akan melepaskan jawatan bagi memberi laluan kepada Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang dikatakan bakal mengambil alih tampuk pentadbiran negeri.

Sebaliknya, Adun Sungai Tua itu mendedahkan dia telah meminta Tengku Zafrul – yang baru mengumumkan keluar daripada Umno – agar mendoakan dirinya terus kekal sebagai menteri besar.

"Spekulasi (letak jawatan MB Selangor) ini dah 5 tahun lepas. Alhamdulillah, saya masih kekal.

"Semalam pun saya sempat ziarah Tengku Zafrul sebelum beliau berangkat ke Mekah.

“Dia tanya saya apa doa saya nak kirim, saya minta dia doakan saya kekal di Selangor," katanya kepada pemberita semasa majlis di Selayang hari ini.

Terdahulu, naib presiden PKR itu ditanya mengenai spekulasi dia bakal melepaskan jawatan yang telah dipegang sejak 2018.

Spekulasi tersebut tercetus selepas kenyataan Tengku Zafrul semalam yang mengesahkan dia telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Umno dan menyuarakan niat untuk menyertai PKR.

Menerusi satu hantaran di Facebook, menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu mengakui keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan rapi dan rundingan dengan pelbagai pihak termasuk Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Susulan perkembangan itu, ramalan mula beredar Zafrul mungkin dilantik sebagai menteri besar yang baru manakala Amirudin – yang juga ahli parlimen Gombak – dijangka akan dinaikkan ke peringkat kerajaan persekutuan.

Untuk rekod, dua kekosongan kabinet berlaku pada 28 Mei lalu apabila Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, melepaskan jawatan masing-masing.

Amirudin kini dilihat sebagai calon berpotensi menggantikan salah seorang daripada mereka.

Namun, ketika ditanya jika dia bersedia menyertai jemaah menteri, Amirudin berkata perkara itu hanya akan diputuskan apabila tiba masanya.

"Kita tengok keadaan, kita bina jambatan sampai ke sungai nanti.

“Maknanya, kita bincang itu bila sampai masa, buat masa ini kita jalankan tugas macam biasa.

"Sebab tak ada lagi perbincangan atau pun arahan dan sebagainya, dan ia ikut pelbagai proses," kata menteri besar Selangor itu.

Dalam pada itu, Amirudin juga tidak menjangkakan akan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di Selangor dalam tempoh dua tahun terakhir penggal pentadbiran sekarang.

"Saya tak rasa dalam tempoh dua tahun terakhir, kita nak buat PRK. Kemudian mendapatkan mandat baru, sementara nak tukar MB atau sebagainya.

"Jadi, banyak lagi perkara perlu dipertimbangkan, fokus kita sekarang PRN Sabah dan bagaimana memperkukuhkan pasukan dalam perpaduan," katanya.

Khabar mengenai rombakan kabinet kembali bertiup kencang dengan pemilihan semula kepimpinan DAP dan PKR tahun ini, serta tempoh jawatan senator Tengku Zafrul yang bakal tamat pada pertengahan Disember selepas dua penggal – had maksimum bagi seseorang senator.

Pada Disember lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat perbincangan dalam PKR mengenai hasrat Zafrul untuk menyertai parti itu.

Namun, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki ketika itu menegaskan parti tidak akan membenarkan sebarang amalan lompat parti dalam kalangan anggota kerajaan perpaduan.

Pada 10 Februari, Zafrul memaklumkan dia akan berbincang dengan Zahid sebelum membuat keputusan, dan dinasihatkan agar tidak terburu-buru menyertai PKR.

Walaupun kemudiannya mengulangi komitmennya terhadap Umno, Zafrul menegaskan keutamaannya ketika itu tugas sebagai menteri persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS