mk-logo
Berita
PN tak ajak Rafizi, Nik Nazmi, Zafrul sertai pembangkang - Takiyuddin
Diterbitkan:  Jun 1, 2025 8:20 PM
Dikemaskini: 12:20 PM

PN tiada rancangan menjemput Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad atau Tengku Zafrul Abdul Aziz menyertai pembangkang, kata Ketua Whip Parlimennya, Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS itu berkata PN tidak akan membantah sekiranya ketiga-tiga menteri tersebut mahu bekerjasama dengan blok pembangkang di Parlimen.

“Setakat ini PN tidak berhasrat untuk mengajak mereka sama ada Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk sertai PN.

"Namun jika mereka mahu bersama kita di parlimen, itu tiada masalah. Malah jika mereka mahu sertai PN, itu atas mereka sendiri.

"Namun mereka (Rafizi dan Nik Nazmi) tertakluk kepada isu lompat parti," katanya di Kota Bharu seperti dilaporkan *Berita Harian*.

Rafizi dan Nik Nazmi, kedua-duanya pemimpin PKR meletakkan jawatan masing-masing sebagai menteri ekonomi serta menteri sumber asli dan kelestarian alam baru-baru ini.

Mengulas keputusan Tengku Zafrul untuk keluar Umno dan menyatakan minat menyertai PKR, Takiyuddin mempersoalkan pendirian politik menteri berkenaan.

“Di PN, kita mahu mereka yang ada pendirian bukannya sekejap di situ sekejap di sini.

"Dulu pun kita beranggapan Tengku Zafrul mahu menyertai PN, namun tidak berlaku.

"Saya tidak tahu apa tujuan keluar BN dan sertai PKR, kerana untuk mengisi kekosongan jawatan menteri, tempoh lantikan Senatornya akan tamat Ogos ini," kata ahli parlimen Kota Bharu itu.

Zafrul masih menteri pelaburan, perdagangan dan industri selepas keluar daripada Umno untuk menyertai PKR.

Tuntut bukti MP pembangkang lompat

Takiyuddin turut mencabar dakwaan bahawa 10 ahli parlimen pembangkang telah menyatakan sokongan kepada kerajaan persekutuan.

Dia menggesa supaya pihak yang membuat dakwaan itu mengemukakan senarai nama serta bukti sokongan.

“Jika benar kita mahu mereka senaraikan siapa sepuluh ahli parlimen berkenaan, perlu kemukakan bukti secara terperinci.

"Apabila ada dakwaan mengatakan sepuluh ahli parlimen pembangkang mahu menyokong Kerajaan Madani, perkara itu tidak asing lagi dalam suasana politik dan itu reaksi biasa.

"Insya-Allah kita yakin ahli parlimen PN akan kekal dan tiada lagi yang akan lompat parti,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS