Samy mahu kabinet bincang isu kaum India
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mahu isu mengenai kaum India dibincangkan oleh kabinet sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mahu isu mengenai kaum India dibincangkan oleh kabinet sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.
Beliau yang juga menteri kerjaraya berkata, setelah dibincangkan oleh kabinet, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang perlu mengumumkan keputusan tersebut.
"Kita akan hormati keputusan tersebut dan tidak perlulah orang lain yang membuat keputusan mengenai kaum India," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian perhimpunan agung Umno di PWTC di ibu negara hari ini.
Difahamkan, isu-isu yang membabitkan kaum India itu termasukkan tindakan kerajaan negeri Selangor merobohkan sebuah kuil di negeri itu baru-baru ini.
Mengulas perkara tersebut, Samy Vellu berkata, isu perobohan kuil di Selangor telah menemui jalan penyelesaian apabila kerajaan negeri itu setuju untuk menyediakan tapak baru untuk pembinaan kuil tersebut.
Bagaimanapun, beliau tidak menyebut di mana tapak baru kuil tersebut.
"Saya percaya isu perobohan kuil tersebut akan selesai dalam masa terdekat," katanya.
Tidak jejas hubungan
Samy berkata, ada dua kumpulan dalam masyarakat India mengenai isu perobohan kuil khususnya di Selangor.
Kumpulan pertama kata, Samy Vellu ialah yang mahu isu tersebut diselesaikan dengan baik dan kumpulan kedua ialah golongan yang tersinggung dengan tindakan kerajaan merobohkan kuil tersebut.
Tetapi, katanya hubungan antara kaum India dengan orang Melayu baik dan harmoni.
"Apa yang kaum India mahu ialah taraf hidup mereka sama dengan orang Melayu dan orang Cina," katanya.
Samy Vellu berkata, beliau gembira dengan Abdullah yang prihatin dengan prihatin dengan semua kaum di negara ini.
Katanya, isu perobohan kuil tidak akan menjejaskan sambutan Deepavali esok.
Sementara itu, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas ketika ditemui kemudian berkata, masyarakat India perlu menerima keputusan kerajaan merobohkan kuil di Selangor.
"Saya tidak fikir isu tersebut mempunyai agenda untuk merosakkan kaum India," katanya.

