Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khutbah Arafah bakal capai penonton dalam 34 bahasa
Diterbitkan:  Jun 2, 2025 3:53 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

GLOBAL | Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi melengkapkan persiapan bagi projek penterjemahan khutbah Arafah, lapor Saudi Press Agency (SPA).

Projek itu, menurut agensi berkenaan, bertujuan menyampaikan mesej toleransi Islam kepada khalayak global dalam bahasa ibunda mereka, sekali gus memupuk komunikasi lebih baik antara umat Islam dan bukan Islam.

Ia juga, kata SPA, menekankan peranan penting Riyadh dalam mengurus dua masjid suci serta komitmennya yang berterusan dalam menyokong jemaah haji di seluruh dunia.

Projek itu bakal menyediakan penterjemahan khutbah Arafah secara langsung dalam lebih 34 bahasa, menjadikannya antara inisiatif terbesar musim haji.

Ciri utama projek tersebut ialah penggunaan kod respons rantas (QR) yang membolehkan capaian mudah kepada teks dan audio penterjemahan.

Ini membolehkan jemaah mendengar khutbah dalam bahasa masing-masing tanpa mengira lokasi mereka sama ada di kawasan suci atau di tempat lain.

Bagi meluaskan capaian dan impak perkhidmatan ini, kod QR dipaparkan di skrin di kemudahan utama, bas dan penginapan jemaah.

Selain itu, kata SPA, perkhidmatan berkenaan turut dipromosikan melalui pelbagai platform media kerajaan serta dikongsi bersama media antarabangsa dengan kerjasama Kementerian Media.

- Bernama/SPA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS