Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johor peruntuk RM1.5 juta naik taraf Tabika, Taska Kemas
Diterbitkan:  Jun 3, 2025 12:34 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

Kerajaan Johor menyalurkan peruntukan RM1.5 juta untuk menaik taraf Tabika dan Taska Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak di negeri itu.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di Facebook berkata kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan asas keagamaan sebanyak RM1.8 juta bagi program Iqra’ dan Fardu Ain (Iqfa).

Dalam pada itu Onn Hafiz berkata Tabika Kemas mula dijajarkan sebagai feeder kepada Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).

“Ini memerlukan penyelarasan kurikulum termasuk elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), satu transformasi yang akan membawa pendidikan prasekolah Johor ke tahap lebih tinggi dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu Onn Hafiz berkata Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Renggam yang terletak di daerah Kluang, sedang giat dibangunkan.

“Saya berpeluang meninjau perkembangan TMIYC Renggam serta beramah mesra bersama wakil-wakil belia, pertubuhan bukan kerajaan dan penggiat sukan setempat.

“Pusat belia ini sedang giat dibangunkan selaras dengan aspirasi Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim agar setiap daerah memiliki kemudahan yang menjadi ruang pembinaan sahsiah, kepimpinan dan potensi anak muda Johor,” katanya.

Setakat ini terdapat tiga TMIYC yang beroperasi di Johor iaitu di Hutan Bandar dan Pasir Gudang, serta di daerah Muar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS