Saham Affin Holding dijual pada bank Hong Kong?
Seorang perwakilan Umno bertanya kepada Bank Negara sama ada benar saham Affin Holding akan dibeli oleh Bank East Asia dari Hong Kong dengan harga RM2.85 sesaham - di bawah harga sebenar - berbanding dengan harga pasaran RM3.50.
Seorang perwakilan Umno bertanya kepada Bank Negara sama ada benar saham Affin Holding akan dibeli oleh Bank East Asia dari Hong Kong dengan harga RM2.85 sesaham - di bawah harga sebenar - berbanding dengan harga pasaran RM3.50.
"Kenapa ini dibenarkan berlaku?" tanya wakil Umno Johor, Senator Dr Mohd Puad Zarkashi ketika berucap di perhimpunan agung Umno di PWTC hari ini.
"Apa rasionalnya perjualan ini, di mana mungkin 24 peratus kepentingan Melayu dalam syarikat GLC Affin Holding Berhad milik LTAT (Lembaga Tabunh Angkatan Tentera), milik perajurit yang banyak berjasa kepada negara akan terlepas kepada syarikat asing.
"Kalau benar ini akan berlaku, kita minta Bank Negara bertindak segera, batalkan saja penjualan tersebut," tegasnya.
Menurutnya, ia bertentangan dengan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB), kepentingan strategik, kepentingan nasional, apatah lagi kepentingan Agenda Melayu.
Oleh itu, katanya, Umno Johor mencadangkan supaya ditubuhkan segera badan pemantau yang lebih berkesan untuk mengawal dan bertindak terhadap 'exercise' seperti ini yang mengancam kepentingan Melayu.
"Lihat saja KL Pavilion yang tersergam megah di Bukit Bintang. Berapa peratus Bumiputera yang terlibat di situ?" soalnya.
Amalan rasuah
Dr Mohd Puad juga menyokong tindakan tegas tanpa mengira bulu untuk membanteras amalan rasuah di negara ini.
"Gagasan Tata Kelola melalui PIN, memperbaiki sistem penyampaian dan penubuhan PEMUDAH adalah bukti komitmen Perdana Menteri, untuk membanteraskan gelajah rasuah," katanya.
Di samping itu, katanya, kerana berleluasanya gejala rasuah, maka wujud berbagai akronim yang berkaitan dengan rasuah.
"Seperti HAKIM (hubungi aku jika ingin menang), JAKSA (jika akan kalah suap aje), BEA CUKAI (bereas asal cukup kasih imbalan), UUD (ujung-ujungnya duit), UKM (untuk kantong masing-masing) dan TUTUT (tanpa usaha tapi untung terus)," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar 'si perasuah' di negara ini diberi gelaran baru - pencuri aset negara.
"Ini membuktikan betapa seriusnya kita untuk membanteraskan rasuah dan memandang jijik jenayah tersebut.
"Pencuri aset negara membawa makna yang lebih berat, pedas dan setimpal dengan perbuatan mereka. Mereka penghalang besar Misi 2057," katanya.

