Pergerakan Pemuda Umno hari ini menggesa kerajaan supaya mengkaji semula sistem pemberian subsidi supaya yang lebih adil yang mengutamakan golongan rakyat yang memerlukannya.

Ketika membuat gesaan tersebut, Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin berkata, sistem subsidi sekarang tidak adil kerana ia turut dinikmati oleh golongan berada yang mampu membayar harga sebenarnya.

"Subsidi adalah untuk rakyat yang perlukan bantuan, yang berpendapatan rendah dan perlukan subsidi. Bayangkan bila kita pergi ke stesen minyak...kita tengok orang naik motor kapcai mengisi minyak pada kadar RM1.92 seliter.

'Kemudian datang kereta mercedez juga membayar petrol pada kadar harga RM1.92 seliter...Apa perlu kita beri subsidi kepada orang kaya...sepatutnya beri subsidi kepada yang bawa motor kapcai," katanya ketika membahaskan usul ekonomi di perhimpunan agung Umno di PWTC hari ini.

Dalam hal tersebut, Khairy menegaskan bahawa perlu ada subsidi yang adil dan saksama.

Mega projek terbesar

"Kalau kata hapus subsidi, ini tindakan bunuh diri, tiada parti politik yang akan hapuskan subsidi, (oleh itu), Pemuda cadangkan supaya dirombak semula subsidi yang tidak adil ini," katanya.

Sebaliknya, tegas beliau, projek mega paling besar di negara ini sekarang ialah subsidi kerajaan.

"Saya percaya yang kaya mampu bayar RM2 lebih selitar untuk mengisi minyak. Saya yakin rakyat akan sayang pada umno jika kita kekalkan subsidi untuk orang yang memerlukannya, dan gunakan (wang subsidi itu) untuk tujuan pembangunan rakyat," katanya.

"Sedar tidak sedar, kita disubsidi dari lahir hingga ke akhir hayat...kita jadi manusia subsidi. subsidi bantuan dari kerajaan, kalau diturun subsidi, kerajaan akan dimaki, Kalau dikekalkan subsidi, tidak terdengar kata-kata terima kepada kerajaan...apa saja disubsidi - baik gas, petrol, barang pertanian, barang kawalan....," katanya.

Pada masa ini, kata Khairy, kerajaan membelanjakan sebanyak RM35 bilion tahun untuk subsidi, yang bersamaan dengan 25 peratus hasil kerajaan tahun ini.

"Dengan RM35 bilion itu kita boleh membina dua lagi kota Putrajaya, enam jambatan baru di Pulau Pinang, 500,000 rumah kos rendah," katanya.

Bahasa Inggeris

Menurut Khairy lagi, sistem subsidi sekarang terlalu murah dan menggalakkan pembaziran.

"Bila harga minyak murah, kita membazirkan minyak...tapi jika kita membayar harga yang tinggi, maka kitaakan berjimat...jadi Pemuda Umno berharap agar sistem subsidi sekarang dikaji semula supaya adil kepada rakyat yang memerlukannya.

"Ini kerana kita tidak mahu generasi muda akan menanggung hutang apabila kita menjadi pengimport penuh minyak pada 2011. Presiden (Umno) janji tak naikkan harga minyak, tahun depan saya tahun kerana kenaikan harga minyak," tambahnya.

Sementara itu, Khairy juga menyentuh tentang langkah kerajaan menangguhkan pelaksanaan penggunaan bahasa Inggeris untuk pembelajaran matapelajaran sains dan matematik.

Katanya, ini kerana pelaksanaannya tidak menghasilkan kesan seperti yang dikehendaki dan prestasi pelajar terutama di sekolah bandar juga tidak memuaskan.

"Apa salahnya kita kembali ajar semula (sains dan matematik) dalam bahasa kebangsaaan...Pemuda minta untuk sekolah rendah sahaja...," katanya.

Sebaliknya, tegas Khairy, cara lojik untuk meningkatkan pencapaian bahasa Inggeris di kalangan pelajar ialah dengan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris sendiri.