Blogger terus dibelasah di perhimpunan Umno
Masyarakat terus menjadi sasaran kecaman perwakilan di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang masuk ke hari keduanya hari ini.
Masyarakat terus menjadi sasaran kecaman perwakilan di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang masuk ke hari keduanya hari ini.
Pagi tadi, perwakilan dari Sabah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengambil tindakan tegas terhadap blogger yang didakwanya telah menyebar fitnah dan memburuk-burukkan kerajaan dan negara.
Datuk Panglima Yahya Hussein berkata, bloger-bloger ini meracuni masyarakat masyarakat, termasuk luar bandar.
"Ayuh Pak Lah kerjakan dan lanyak mereka, sebelum mereka lanyak kita," kata beliau yang timbalan ketua menteri Sabah.
"Kita lanyak pembelot negara yang dilakukan oleh pembangkang," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden hari ini.
Rebut kuasa
Dalam ucapannya, Yahya turut mengingatkan bahawa orang Melayu berpecah kerana mereka berebut kuasa untuk menjadi menteri.
Akibatnya, kata beliau, mereka merana dan menjadi golongan yang hina serta tidak dipedulikan sesiapa.
"Ini pernah berlaku di Sabah dan tentunya kita tidak mahu ianya berulang lagi," katanya.
Yahya juga meminta kerajaan mengkaji semula pemberian subsidi kerana ia telah disalahgunakan oleh 'penyangak' yang mengaut keuntungan.
Katanya, kerajaan boleh mengurus ekonomi mengikut kemampuan sendiri seperti kata orang `ukur baju di badan sendiri.'
"Dan bolehlah wang subsidi itu digunakan untuk membantu golongan miskin termasuk di Sabah yang masih terlalu ramai," katanya.

