Swasta tidak minat melabur di koridor ekonomi
Pemuda Umno hari ini membidas syarikat-syarikat swasta yang tidak berminat melaburkan dalam negara sendiri termasuk di koridor pembangunan ekonomi wilayah.
Pemuda Umno hari ini membidas syarikat-syarikat swasta yang tidak berminat melaburkan dalam negara sendiri termasuk di koridor pembangunan ekonomi wilayah.
Sebaliknya, Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, mereka lebih berminat membelanjakan berbilion ringgit untuk melabur di luar negara tetapi tidak langsung melihat peluang di bumi sendiri.
Menurutnya, walaupun koridor pembangunan ekonomi wilayah dibangunkan, tetapi mereka lebih berminat melihat peluang di luar negara.
"Ada syarikat yang menggugurkan penyenaraiannya di Bursa Malaysia dan disenaraikan di negara asing," katanya ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan di perhimpunan agung Umno di PWTC hari ini.
"Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) menarik RM4 bilion dari pelabur Timur Tengah. Kalau Pak Arab begitu yakin dengan WPI, apatah lagi syarikat swasta kita sendiri...adat bernegara memagar negeri, adat berkampung memagar kampung...semailah benih untuk hidup subur di bumi sendiri.
"Kita tidak menghalang syarikat-syarikat kita, malah bangga syarikat kita di peringkat antarabangsa. Ia menunjukkan syarikat mereka mampu bersaing di peringkat antabangsa.
"Tapi kita harap mereka akan turut melaksanakan tanggungjawab untuk membawa pelaburan bagi memajukan koridor pembangunan ekonomi wilayah sebagai satu tanggungjawab nasional.
'Bawa rakan kongsi'
"Bawalah rakan kongsi dari luar negara untuk datang melabur di Malaysia...inilah semangat yang kita inginkan dari pihak swasta untuk membangunkan wilyah tersebut," katanya.
Menurutnya, koridor pembangunan ekonomi wilayah - satu konsep pembangunan seimbang yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri - akan dapat mengurangkan kemiskinan di luar bandar serta di bandar.
"Dahulunya mereka berhijrah ke bandar kerana ingat nak jadi kayak, sebaliknya mereka telah memindahkan kemiskinan dari luar bandar ke bandar. Dengan adanya koridor pembangunan ekonomi wilayah, mereka boleh kembalu semula ke negeri masing-masing," katanya.
Menurut Khairy lagi sektor swasta sepatutnya menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara.
"Kerajaan sentiasa minta swasta mengambil alih jentera pembangunan ekonomi. Tetapi secara keseluruhanny, pihak swasta gagal tampil mengambilaih tugas tersebut," katanya lagi.
Khairy menegaskan beliau menyentuh tentang koridor pembangunan ekonomi wilayah itu sebagai salah satu contoh peluang kepada pihak swasta untuk membantu kerajaan membangunkan ekonomi negara.

