Paksa GLC bantu Melayu, kata wakil Wanita Umno
Kerajaan perlu memaksa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membantu orang Melayu menguasai bidang ekonomi khususnya di bandar-bandar besar yang kini menjadi milik peniaga bukan Melayu.
Kerajaan perlu memaksa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membantu orang Melayu menguasai bidang ekonomi khususnya di bandar-bandar besar yang kini menjadi milik peniaga bukan Melayu.
Perwakilan Wanita Umno, Azizah Johor berkata, sudah sampai masanya kerajaan bertegas dengan GLC supaya memainkan tanggungjawab sosial memajukan peniaga Melayu.
Ketika ini, katanya ada 15 GLC dan kesemuanya di kuasai oleh kerajaan, antaranya Petronas, Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Hukum GLC yang gagal mengikut kehendak Umno seperti menukar ketua pegawai eksekutif (CEO) yang tidak sehaluan dengan aspirasi pemimpin Umno.
"Kita mesti mengikut cara bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang memajukan negara dengan kaedah mengukuhkan golongan peniaga," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden dalam perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.
Dalam soal ini, Azizah berkata, Petronas dan GLC lain membeli lot-lot kedai di kawasan bandar untuk diberi atau disewa kepada peniaga-peniaga kecil Melayu.
Peniaga di bandar besar
Katanya, kerajaan melalui GLC khususnya mengukuhkan industri kecil dan sederhana (IKS) kerana hari ini sebahagian besar dimiliki oleh bukan Melayu.
"Buatlah sekarang, kerana kita ada kuasa. Inilah masanya untuk membantu peniaga-peniga Melayu terutama di kawasan bandar," katanya.
Menurutnya, peniaga Melayu di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Ipoh telah ditenggelami oleh peniaga bukan Melayu.
Azizah berkata, beliau kecewa dengan sikap sesetengah peniaga kaya Melayu yang asyik memikirkan mengenai keuntungan dan saham sahaja tanpa memikirkan usaha membantu peniaga kecil Melayu yang lain.
Katanya, golongan ini hanya mementikan diri sendiri sahaja tetapi tidak pernah memikirkan survival bangsa.
"Sedangkan mereka tahu mereka kaya raya, mereka berjaya adalah kerana titik peluh Umno yang berjuang untuk orang Melayu," katanya.

