Dalam perhimpunan agung Umno 2007, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein sekali lagi menghunus, mencium, dan menjulang Keris Panca Warisan tanpa menghiraukan bantahan keras dan meluas bahawa ia merupakan simbol 'pergaduhan' yang akan menjejaskan perpaduan kaum.

Malah, Naib Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin mengisytiharkan bahawa selagi ada Pergerakan Pemuda Umno, Keris Panca Warisan akan dijulang selama-lamanya dan mengingatkan bahawa pada masa yang akan datang, sesiapa yang tidak berani menghunus dan menjulang Keris Panca Warisan adalah pengkhianat kepada bangsa dan parti!

Namun demikian, di samping Hishammuddin, Naib Presiden Umno, Najib Tun Razak dan Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi terpaksa mempertahankan simbolisme hegemonik Melayu itu dalam ucapan masing-masing - tugas cuba menegakkan benang basah, bagai tikus membaiki labu!

Hishammuddin di satu pihak mengaku keris adalah lambang kemelayuan yang mendukung kedaulatan, kekuasaan, maruah, dan jati diri bangsa dan di pihak yang lain, cuba pula mengatakan keris Melayu menjadi pelindung pelbagai kaum yang bernaung di bawahnya.

Namun, bolehkah Hishammuddin menjelaskan keris Melayu menjadi pelindung pelbagai kaum yang bernaung di bawahnya dari siapa? Musuh asing atau musuh dalam negeri? Hishammuddin sudah barang tentu tidak dapat mengenalpasti musuh yang padahal tidak wujud.

Oleh itu, seperti dipercayai pendapat umum, yang disasari padahal mereka yang dianggap sebagai 'kurang ajar' dan berani mempersoalkan 'sosial kontrak' (khasnya hak keistimewaan Orang Melayu, Dasar Ekonomi Melayu dan agenda-agenda Melayu yang lain ) menurut pengertian Pemuda Umno dan dasar Ketuanan Melayu dan Bumiputraisme Umno.

Dalam ucapan Timbalan Presiden Umno, Najib Tun Razak sungguhpun telah mempertahankan Pemuda Umno berkaitan isu menjulang keris dengan mengatakan pergerakan itu bukan mengisytiharkan perang tetapi menegaskan perjuangan untuk membela nasib bangsa dalam ruang lingkup hak serta perlembagaan negara.

Politik Melayu

Najib sekurang-kurangnya berani mengaku dengan menjulang keris, Pemuda menegaskan perjuangan untuk membela nasib bangsa dalam ruang lingkup hak. Beliau tidak berpura-pura mendakwa keris Melayu menjadi pelindung pelbagai kaum yang bernaung di bawahnya.

Malah Najib telah menekankan kepentingan perpaduan Melayu dalam mempertahankan kuasa politik Melayu, dan diseru agar kaum Melayu mengelakkan bencana perpecahan, kerana menurut beliau, apabila kuasa tidak ada lagi di tangan, maka tangisan air mata darah sekalipun tidak akan bermakna!

Disebut pula falsafah tiga hujung orang Bugis dalam menyelesaikan perbalahan, iaitu pertama, hujung lidah melalui perbincangan, dialog dan musyawarah; kedua, hujung 'anunya' melalui ikatan silaturahim dan keluarga; dan ketiga, hujung keris melalui peperangan dan pertumpahan darah.

Najib tidak pantang menyebut menyelesaikan perbalahan melalui hujung keris yang bermakna pertumpahan darah, dengan ditegaskan bahawa ini adalah pilihan terakhir, selalunya tidak akan diguna sebab telah memadai dengan dua hujung sebelumnya.

Tak sangka dalam ucapan Presiden, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi juga turut mempertahankan tindakan Pemuda Umno menjulang keris.

Kata beliau, perbuatan menghunus dan mengucup keris adalah sebahagian daripada adat warisan pusaka bangsa, tetapi telah ditakrifkan secara sempit dan negatif untuk menakutkan orang bukan Melayu dan memburukkan imej Umno dan Malaysia.

Serah pada pengundi

Kata beliau, keris adalah senjata untuk membela diri dan membela kawan-kawan. Demi mempertahankan Pemuda Umno, Abdullah telah menafikan fungsi keris untuk menyerang musuh. Rasanya beliau perlu membaca falsafah 'tiga hujung' orang Bugis untuk menyelesaikan perbalahan seperti yang diujar Najib di atas, terutamanya 'hujung keris' melalui pertumpahan darah!

Perkembangan terbaru isu menjulang keris Pemuda Umno seperti tersebut di atas membawa makna yang amat negatif, kerana tindakan yang berbau ugutan itu telah dibantah secara meluas itu telah diperkenankan pimpinan tertinggi Umno.

Kedua, bukan rahsia lagi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) juga amat tidak puas hati dengan kedegilan Pemuda Umno dalam mengulangi perbuatan terbabit, pendirian pimpinan tertinggi Umno dalam mempertahankan tindakan ekstremis Pemuda Umno tersebut merupakan tamparan tambahan.

Ketiga, persepsi menyelesaikan perbalahan melalui 'hujung keris' seolah-olah telah mendapat legitimasi dalam Umno. Rakyat Malaysia tentu tidak begitu mudah melupakan episod Hishammuddin ditanya oleh perwakilan Umno bila hendak menikam selepas menjulang, bermain dan mencium Keris Panca Warisan pada tahun 2005.

Keempat, tidak dapat dinafikan bahawa dalam konteks, persekitaran dan suasana yang sarat dengan sentimen perkauman seperti perhimpunan agung Umno, cuba mempertahankan perbuatan berbau ugutan itu dengan adat warisan dan kebudayaan Melayu padahal sukar meyakinkan mereka yang kenal benar politik Pemuda Umno yang suka berlagak sebagai wira bangsa dan agama.

Kini, hanya pengundi yang mampu memberi ajaran kepada Umno pada pilihanraya umum yang akan datang atas keangkuhannya dalam mengabaikan segala bantahan berkaitan isu keris!