Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan yang dirancang di Dataran Merdeka Sabtu ini kerana ia mampu mencetuskan kekecohan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Katanya memandangkan perhimpunan yang bakal diadakan tidak mendapat permit, polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas bagi menghalang perhimpunan itu daripada diadakan.

Musa berkata walaupun ada yang mendakwa ia perhimpunan aman, namun polis meragui tujuan sebenar perhimpunan itu diadakan, demikian menurut laporan Bernama.

"Ini kerana mereka (penganjur) didapati membuat hebahan yang begitu meluas mengenainya, sama ada melalui majlis-majlis ceramah, forum, penyebaran SMS, penggunaan laman-lamanweb, pengedaran "handbill" dan sebagainya sejak beberapa bulan kebelakangan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, kata beliau, mereka juga mengeluarkan panduan-panduan kepada orang ramai tentang cara-cara untuk menghadapi pihak polis melalui laman-laman web.

Penganjurnya, Bersih merancang mengadakan perhimpunan disertai 100,000 orang pada jam 3 petang Sabtu ini sebelum berarak beramai-ramai ke Istana Negara.

Musa juga berkata tindakan penganjur berkeras untuk meneruskan hasrat mengadakan perhimpunan dan perarakan yang besar boleh menimbulkan kesesakan lalulintas yang teruk, bukan sahaja di kawasan Dataran Merdeka malah seluruh ibu kota.

"Perhimpunan serta perarakan yang disertai oleh orang ramai secara besar-besaran juga tidak mustahil akan berlaku kekecohan sehingga menjejaskan ketenteraman awam.

"Polis khuatir ada pihak-pihak dan anasir-anasir yang tidak diingini dan tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan untuk mencetuskan provokasi bagi mewujudkan suasana tidak terkawal sehingga akhirnya bertukar menjadi demonstrasi jalanan dan rusuhan ganas," katanya.

Katanya keadaan tersebut akan menimbulkan ketakutan kepada orang ramai dan boleh menjejaskan aktiviti perniagaan serta membawa kepada kerosakan harta benda awam.

"Kerjasama orang ramai dalam mematuhi peringatan ini amat-amatlah dihargai bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam terus terpelihara," katanya.