Panel bebas khas yang telah melengkapkan laporannya mengenai kesahihan rakaman klip video perbualan mengenai pelantikan hakim boleh bermesyuarat semula, sekiranya ada perkembangan baru dalam kes itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, walaupun laporan berkenaan telah siap, panel itu masih boleh meneliti semula bukti terkini mengenai rakaman perbualan seorang peguam kononnya dengan seorang hakim itu pada tahun 2002.

"Apa pun kami serahkan kepada panel itu untuk memutuskannya, biar panel itu melihatnya dulu... tetapi jika ada yang baru, panel itu boleh menimbangkannya, mereka masih boleh bermesyuarat lagi," katanya ketika ditemui pemberita di luar Perhimpunan Agung Umno di sini, hari ini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menayangkan bahagian kedua klip video selama 9 saat mengenai perbualan itu kepada media di pejabatnya hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Anwar dikatakan akan menayangkan bahagian ketiga klip video itu kepada media tidak lama lagi. Tempoh klip video penuh itu didakwa sepanjang 14 minit 16 saat.

Panel bebas yang diketuai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dua anggota panel iaitu aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahad Shankar telah menyiapkan laporan mengenai kesahihan rakaman video itu.

Laporan itu dijangka diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam masa terdekat.