Pakaian pramugari syarikat penerbangan tambang murah negara, AirAsia yang disifatkannya sebagai terlalu seksi, menjadi sasaran kritikan seorang perwakilan Wanita yang menyifatkannya sebagai memalukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Ketua Wanita Umno Kelantan, Zaleha Hussin berkata, pakaian pramugari Air Asia sangat menjolok mata dan penumpang melihat betis, lutut dan peha secara berleluasa.

"Sudahlah nampak betis, lutut dan peha, kemudian duduk pula..." katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan, khususnya pihak pengurusan AirAsia, mengambil tindakan segera mengatasi masalah tersebut.

Zaleha berkata, pakaian pramugari AirAsia perlu diganti dengan yang lebih sesuai dengan nilai-nilai kebangsaan.

Sementara itu, dalam ucapannya, Zaleha berkata, penerbitan buku-buku politik boleh memecahbelahkan perpaduan di kalangan ahli Umno.

'Tapis buku politik'

Katanya, sehingga ini telah keluar buku Khairi menjadi Perdana Menteri dan juga keluar buku mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Buku-buku ramalan seperti ini sebenarnya boleh memecahbelahkan perpaduan Umno dan jika tidak dibendung boleh membahayakan parti," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta supaya kebebasan yang diberikan kepada penulis buku-buku politik ditapis supaya ia tidak memudaratkan parti.

Zaleha juga menggesa kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) supaya menghapuskan ajaran-ajaran khurafat yang masih diamalkan di kalangan umat Islam.

Beliau juga meminta pihak berkuasa mengambil tindakan mengurangkan pelampau agama yang mendakwa hanya golongan mereka sahaja yang betul.

"Orang lain kafir dan taughut seperti yang masih berlaku di kalangan penduduk Kelantan," katanya.