Isu pekerja asing menjadi fokus perbincangan beberapa perwakilan hari terakhir perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.

Wakil Pergerakan Pemuda Umno Selangor, Abdul Syukor Idrus berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas ke atas majikan yang lebih suka mengambil pekerja sedangkan mereka boleh mendapatkan pekerja tempatan.

Katanya, majikan berkenaan mengambil pekerja asing dengan alasan gaji yang lebih murah dari pekerja tempatan.

"Saya mencadangkan kerajaan mengutamakan pemberian kontrak kepada syarikat-syarikat yang mengambil pekerja tempatan untuk mengendalikan projek mereka.

"Kontrak pembekalan makanan di hotel dan pembersihan di bangunan-bangunan umpamanya, eloklah diberikan kepada syarikat yang menggunakan pekerja tempatan sepenuhnya.

"Saya hairan bagaimana kerja-kerja penyajian makanan semasa perhimpunan agung di PWTC dikendalikan oleh pekarja asing sedangkan ia boleh diberikan kepada ahli Putera Umno dan ibu tunggal," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden.

Sebelum itu, wakil Pergerakan Puteri Umno Kedah, Kama Noriah Ibrahim dalam ucapannya berkata, kerajaan perlu memberikan latihan terlebih dahulu kepada pekerja asing sebelum diambil berkerja di negara ini.

Katanya, latihan tersebut perlu mengambilkira piawaian khas yang menentukan sama ada mereka layak bekerja atau tidak.

Kama Noriah berkata, majikan juga perlu menilai kesesuaian pekerja asing dalam beberapa bulan tertentu sebelum diambil bekerja secara tetap.

"Pihak berkuasa pula secara langsung mengawal tingkahlaku dan budaya pekerja asing yang berbeza dengan budaya tempatan khususnya orang Islam," katanya.

"Kemasukan jumlah pekerja asing khususnya secara haram ini membimbangkan masyarakat tempatan kerana mereka banyak terbabit dengan pelbagai kegiatan jenayah," katanya.