Kelantan sepatutnya berada dalam pemerintahan Barisan Nasional (BN) selepas pilihanraya 2004 sekiranya semua ahli Umno di negeri itu mendaftar sebagai pengundi, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Katanya, dalam pilihanraya umum 2004 yang lalu, Umno tewas di sebelas kerusi di bawah 200 undi dan di sebuah lagi DUN, calon Umno tewas hanya dua undi sahaja.

"Jika semua ahli Umno mendaftar sebagai pengundi di Dun-Dun ini, kita telahpun berjaya dan hari ini, Kelantan berada di bawah BN kerana kelebihan PAS hanya satu kerusi sahaja, iaitu 23/22 kerusi," katanya.

Mohd Ali yakin, jika semua ahl-ahli Umno di negeri itu didaftarkan, Kelantan akan berjaya ditawan BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Sehubungan itu, beliau yang bertanggungjawab terhadap keahlian Umno, berkata pemimpin parti itu di semua peringkat perlu meningkat usaha supaya semua ahli parti itu mendaftar sebagai pengundi.

Dalam ucapan penangguhannya di perhimpunan agung umno petang ini, Mohd Ali berkata, 18.4 peratus ahli Umno masih belum mendaftar sebagai pengundi.

"Maka amatlah penting ahli-ahli Umno ini didaftar dengan segera," kata beliau yang juga Ketua Menteri Melaka.

Menurut beliau lagi, jumlah ahli sehingga 1 November lalu berjumlah 3,349,280 orang, dengan negeri yang mempunyai ahli teramai ialah Johor (462,485), Sabah (447,312), Selangor (436,898), Kedah (310,570) dan Perak (305,843).

Bahagian dengan ahli teramai pula ialah Kemaman, Terengganu (40,772), Gombak, Selangor (38,656), Silam, Sabah (34,991); Besut, Terengganu (33,118) dan Baling, Kedah (32,481).

"Saya berharap, sekembalinya kita dari perhimpunan ini, para perwakilan dapat menyegerakan pendaftaran ahli-ahli yang masih belum didaftarkan sebagai pengundi agar mereka boleh mengundi dalam pilihanraya akan datang," katanya.