Elak perkara jadi kemarahan rakyat, kata Najib
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan pemimpin Umno di semua peringkat supaya jangan melakukan perkara-perkara yang menjadi kemarahan rakyat.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan pemimpin Umno di semua peringkat supaya jangan melakukan perkara-perkara yang menjadi kemarahan rakyat.
Selain itu, katanya, mereka juga hendaklah bekerja sepanjang masa.
"Saya juga berharap jentera pilihanraya Umno berada dalam bersiap sedia setiap masa dengan kemantapan yang jitu," katanya.
Umno, katanya, yakin akan menang lebih dua pertiga majoriti di semua negeri termasuk di Kelantan.
"Insya-Allah (Umno) juga akan menang di Kelantan," katanya ketika menggulung ucapan di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.
Kelantan telah diperintah oleh PAS sejak 17 tahun lalu tetapi ketika ini parti itu hanya mempunyai kelebihan satu kerusi iaitu 23 berbanding Barisan Nasional (BN) 22 kerusi.
Perpaduan ahli
Sehubungan itu, Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri menasihatkan ahli tidak berbalah dan mengamalkan budaya `cah keting.'
Beliau berkata, individu tidak penting, sebaliknya yang lebih penting ialah idealisme parti (Umno).
Menurutnya, parti itu pernah mengalami kesukaran antara tahun 1987 hingga 2000 tetapi kerana perpaduan ahli semua berjaya dihadapi.
"Ini bermakna susah senang perlu dihadapai bersama," katanya.
Beliau juga mengingatkan soal pemilihan calon biarlah ditentukan oleh pucuk pimpinan dan mereka perlu menerima ketentuan tersebut.
"Jika hendak tempah kot, baju kurung yang ada labuci, itu hak masing-masing tetapi kenalah keputusan pucuk pimpinan," katanya.
Agenda Melayu
Najib juga menegaskan, orang Melayu hanya selamat apabila Umno kuat tetapi kuat apabila parti bersatu.
Dalam ucapannya, beliau juga menegaskan bahawa agenda Melayu akan diteruskan demi kepentingan bangsa tersebut.
Beliau juga mengingatkan kaum lain supaya tidak menafikan hak-hak orang Melayu di dalam negara ini.
"Bila kita berlaku adil kepada orang lain, tidak ambil hak, tidak nafikan hak mereka, jangan sesiapa menafikan hak orang Melayu," katanya.
Najib berkata, lambakan ketempangan orang Melayu mesti diperbetulkan dan kepada orang luar yang masih mempertikaikan perkara ini, orang Melayu sedia menghadapinya.
Katanya, walaupun orang Melayu bangsa yang bersopan dan beragama, mereka sanggup mati kerana kawan dan sabarnya ada batas sempadan

