BERITA Malaysiakini

Puluhan ribu serta perhimpunan tuntut p'raya adil

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Berpuluh ribu orang berhimpun di luar Istana Negara petang tadi menuntut pilihanraya bersih dan adil.

Sebelum itu pengajur perhimpunan tersebut yang terdiri daripada gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti pembangkang - berarak ke Istana Negara dalam hujan, sambil melaung menuntut keadilan dan pembaharuan dalam pilihanraya.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi amaran kepada penganjur perhimpunan tersebut, tetapi ia tetap diadakan walaupun polis mengadakan kawalan ketat di sekitar bandaraya serta mengadakan sekatan jalanraya di semua jalan masuk ke ibunegara.

"Terdapat hampir 30,000 orang pada masa ini. Kita telah bersetuju membenarkan mereka duduk di depan istana dan membenarkan empat wakil mereka menyerahkan petisyen kepada wakil istana," kata seorang pegawai polis kepada AFP.

Penganjur: 40,000 hadir

Pihak penganjur pula berkata sekurang-kurangnya hampir 40,000 orang menyertai perhimpunan tersebut.

Kira-kira 400 anggota polis anti-rusuhan ditugaskan mengawal kawasan istana, termasuk berbelas-belas anggota lagi yang lengkap bersenjatakan senjata automatik dan pelancar gas pemedih mata.

"Rakyat Malaysia mesti dibenar menyuarakan pandangan dan pendapat mereka," kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang di depan pintu pagar istana untuk menyerahkan petisyen tersebut.

"Adalah tidak adil bagi kerajaan untuk tidak mengeluarkan permit untuk mengadakan perhimpunan ini kerana ia hanyalah menyuarakan suara takyat di sini," katanya.

Pihak penganjurnya merancang untuk mengadakan perhimpunan tersebut di Dataran Merdeka tetapi terpaksa memindahkannya selepas polis menutup jalan masuk ke situ.

- AFP