Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mempertahankan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST), khususnya terhadap buah-buahan import, dengan menyatakan langkah itu bertujuan mengenakan cukai kepada golongan kaya.
Mengulas mengenai cukai 5 peratus terhadap buah-buahan import, Anwar memberi gambaran keputusan itu hanya akan memberi kesan kepada mereka yang memakan buah-buahan mahal seperti avokado.
"Baru ni masuk dalam (berita) barang import, cukai, pisang! Dah (orang) mengamuk...Kita tanam susah-payah di Lumut, kemudian kena import pisang? Pisang import bukan pisang emas, pisang awak, pisang berangan di sini kena cukai.
"Bacalah dulu, jangan bedal dulu. Yang naik ini buah-buah (import)...yang nak makan avokado! Avokado ni saya dengar KSN makan. Ia mahal, import. Awak orang ada pendapatan tinggi, dia kaya, nak makan avokado, makanlah. Tapi bayarlah sikit lebih. Kita cukai avokado,” katanya ketika berucap dalam program Madani Rakyat di Lumut, Perak.
Bagaimanapun Anwar tidak menyentuh bahawa cukai jualan lima peratus itu akan dikenakan ke atas semua buah-buahan import, termasuk yang murah dan mampu dibeli golongan berpendapatan rendah seperti epal – yang hanya boleh didapati melalui import.

Sementara itu, walaupun pisang dan buah-buahan tempatan dikecualikan daripada cukai jualan, pisang mas import serta buah seperti rambutan dan mangga tetap termasuk dalam senarai yang dikenakan cukai.
Ini kerana bekalan buah-buahan tempatan itu tidak selalu mencukupi dan perllu diimport untuk memenuhi permintaan pasaran.
Persatuan pengguna menyuarakan kebimbangan bahawa cukai ke atas semua buah import boleh menjejaskan pemakanan keluarga berpendapatan rendah. Namun begitu, seorang pakar pemakanan berpendapat buah-buahan tempatan masih mampu memenuhi keperluan nutrisi.
Tolak gesaan kembalikan GST
Selain buah-buahan import, Anwar berkata barangan lain turut dikenakan cukai termasuk ikan import seperti ikan kod.
Dia berkata peluasan asas cukai adalah perlu bagi membolehkan kerajaan membiayai projek-projek awam.
"Kalau tak cukai, nak ambil wang dari mana nak buat Hospital Manjung? Tak ada!" katanya.
Dalam masa sama, Anwar juga menolak gesaan sesetengah pihak yang mahu kerajaan mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berbanding memperluaskan SST.

"Kadang-kadang ahli parlimen ni kena beri kursus sikit. Dia nak sedap kata 'SST tak bagus!' Kamu faham ke GST? Tanya KSU kementerian ekonomi, MOF, itu (GST) lebih baik, lebih mudah.
"Enam persen, semua kena bayar. Tapi saya nak tanya, kalau enam peratus semua, kenapa orang miskin, orang menganggur kena bayar?" kata Anwar yang juga menteri kewangan.
