GLOBAL | United Kingdom melantik seorang wanita untuk pertama kali bagi mengetuai agensi Perkhidmatan Perisikan Rahsia (MI6), menurut Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Blaise Metreweli akan menjadi ketua ke-18 MI6 bagi menggantikan Richard Moore yang akan berundur daripada perkhidmatan itu pada musim luruh nanti, lapor Anadolu Ajansi.
Perdana Menteri Keir Starmer menyifatkan pelantikan itu sebagai satu "detik bersejarah" sambil menekankan peranan penting perkhidmatan perisikan dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa.
“United Kingdom sedang berdepan ancaman pada skala yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Starmer sambil merakamkan penghargaan kepada Moore atas "khidmat baktinya yang penuh dedikasi."
Setiausaha Luar David Lammy pula memuji pengalaman luas Blaise dalam keselamatan negara dan menyifatkan wanita terbabit sebagai "calon paling ideal untuk memimpin MI6 pada masa depan."
Blaise, 47, kini merupakan ketua pengarah bahagian Q MI6 yang bertanggungjawab terhadap teknologi dan inovasi. Dia menyertai agensi itu sebagai pegawai kes pada 1999.
Sebelum ini dia memegang jawatan pengarah dalam agensi perisikan domestik MI5 dan menghabiskan sebahagian besar kerjayanya dalam operasi di Timur Tengah dan Eropah.
Lulusan antropologi Universiti Cambridge itu menyatakan rasa bangga kerana diberi kepercayaan untuk menerajui MI6 bagi “menjaga keselamatan rakyat Britain dan mempromosikan kepentingan UK di luar negara.”
- Bernama/Anadolu
