Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA: Fokus Zahid tersasar, hala tuju PRU16 BN masih kabur
Diterbitkan:  Jun 16, 2025 2:50 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Walaupun Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi cuba meredakan kebimbangan parti-parti komponen dalam gabungan itu, MCA tetap tidak berpuas hati dengan kenyataan serta jaminan yang diberikan oleh timbalan perdana menteri itu.

Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng berkata bahawa partii komponen BN masih keliru sama ada gabungan itu akan bekerjasama dengan kerajaan Madani dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti atau tidak

Menurutnya, kenyataan Zahid semalam – bahawa BN akan terus bertanding di bawah panji-panji BN pada pilihan raya akan datang – sebenarnya tidak memberikan hala tuju yang jelas kepada gabungan tersebut.

Malah, katanya parti-parti komponen BN tidak pernah meragui lambang yang akan digunakan dalam pilihan raya umum akan datang.

Kerjasama dengan Madani

“Apa yang paling membimbangkan akar umbi BN dan parti-parti anggota sekarang ialah sama ada BN akan bekerjasama dengan kerajaan perpaduan atau Pakatan Harapan untuk bersama-sama menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

“Inilah persoalan yang sepatutnya dijawab oleh Zahid,” kata Tan menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon sebelum ini, telah memberikan lebih dua tahun kepada BN sejak PRU15 untuk membuat penyesuaian dan menetapkan arah tuju yang jelas menjelang PRU16.

“Namun sehingga kini BN masih belum mengeluarkan sebarang panduan yang jelas,” kata Tan.

Pembahagian kerusi

Mengulas kenyataan Zahid bahawa MCA akan diberi peluang bertanding pada PRU akan datang, Tan berkata pimpinan MCA tidak pernah membincangkan secara terperinci soal pembahagian kerusi dengan parti-parti komponen BN lain bagi tujuan tersebut.

Sehubungan itu, dia menggesa Zahid selaku pengerusi BN agar berbincang dan berunding tentang pengagihan kerusi secara bersama dengan semua parti komponen BN, dan bukannya membuat keputusan secara sepihak.

“Pembahagian kerusi antara parti-parti dalam BN, serta penetapan strategi dan kedudukan bagi menghadapi pilihan raya, mesti berpegang kepada semangat BN dan diputuskan secara bersama oleh semua parti komponen,” katanya.

Redakan desakan keluar BN

Semalam, Zahid memberikan jaminan bahawa dua sekutu utama BN - MCA dan MIC - akan diberikan kerusi untuk bertanding pada PRU16. Ini dikatakan dalam usaha menenangkan dua parti komponen itu di tengah-tengah desakan agar mereka keluar daripada gabungan tersebut.

Presiden Umno itu juga sekali lagi menegaskan bahawa BN akan terus bertanding di bawah logo gabungan itu pada pilihan raya umum akan datang.

Pada Khamis, 12 Jun lalu, MCA Alor Setar meluluskan satu usul dalam mesyuarat perwakilan mereka yang menggesa kepimpinan pusat parti supaya berundur daripada BN dan juga kerajaan Madani.

Antara usul tersebut menggesa agar kepimpinan pusat menarik diri daripada kerajaan perpaduan dan BN, serta membina haluan politik yang bebas dan autonomi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS