SPR tiada dalih lagi, kata peserta perhimpunan
Orang ramai berharap penyerahan memorandum oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin akan menyaksikan perubahan dalam pengendalian pilihanraya umum akan datang.
Orang ramai berharap penyerahan memorandum oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin akan menyaksikan perubahan dalam pengendalian pilihanraya umum akan datang.
Abdul Rahman Hassan, 44, dari Melaka berkata, beliau berharap kerajaan sedar bahawa rakyat mahukan perubahan dalam pengendalian pilihanraya.
Katanya, kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mempunyai dalih lagi untuk tidak mempedulikan tuntutan rakyat untuk mendapat demokrasi yang lebih adil.
"Takkan SPR mahu melihat berjuta-juta rakyat datang ke Istana Negara dan mengadakan mogok lapar baru hendak memenuhi tuntutan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Istana Negara sebagai tanda sokongan kepada Bersih menyerahkan memorandum kepada Sultan Mizan, petang tadi.
Kira-kira 40,000 orang yang dipercayai datang dari seluruh negara mengadakan perhimpunan dan perarakan anjuran Bersih di beberapa tempat di ibu negara untuk mendesak SPR mengendalikan pilihanraya yang bersih dan adil.
Kehendak rakyat
Rakannya, Kamarul Anuar Omar, 35, berkata, perarakan besar-besaran ini sebagai bukti bahawa rakyat tidak percaya kepada sistem pilihanraya yang ada sekarang.
Katanya, proses pilihanraya seperti yang ada sekarang tidak dikehendaki rakyat kerana terlalu banyak penyelewengan dan kelemahan serta berpihak kepada pemerintah.
"Saya percaya jika kerajaan atau SPR mengabaikan tuntutan rakyat ini, sudah tentu perhimpunan yang lebih besar akan diadakan pada masa depan," katanya.
Sementara itu, peserta dari Perak, Meor Ahmad Meor Haswan pula berkata, jika tidak kerana kawalan ketat polis di ibu negara sudah tentu lebih ramai wargakota menyertai perhimpunan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, beliau sanggup menyertai protes sekali lagi jika Bersih menganjurkannya pada masa depan.
"Bagi saya menjadi kewajiban kepada rakyat yang cintakan demokrasi yang lebih adil untuk mendesak kerajaan memenuhi kehendak rakyat," katanya.

