Prosedur rawatan kesihatan Hadi berjaya, kata Khalil
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dilaporkan selamat menjalani prosedur rawatan kesihatan di sebuah hospital hari ini.
Setiausaha politik kepada Abdul Hadi, Syahir Sulaiman, berkata perkembangan itu dimaklumkan sendiri oleh anak kepada Ahli Parlimen Marang terbabit, Muhammad Khalil.
"Alhamdulillah. Makluman daripada Ustaz Khalil, prosedur (rawatan) berjaya. Terima kasih kepada semua yang mendoakan," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Bagaimanapun menurut maklumat yang diberikan itu, tiada pelawat yang dibenarkan untuk menziarahi ahli politik berusia 77 tahun itu.
"Atas nasihat doktor, tiada (kehadiran) pelawat dalam masa terdekat. Mohon doakan kesembuhan untuk Ayah Chik tercinta," katanya.
Bagaimanapun setakat ini tidak dijelaskan prosedur kesihatan apakah yang dijalani Abdul Hadi dan di mana ia dilaksanakan.
Semalam, Muhammad Khalil memohon agar orang ramai mendoakan kesembuhan serta mengadakan solat hajat untuk bapanya.
Exco Terengganu itu juga tidak menjelaskan dengan lebih lanjut prosedur atau isu kesihatan yang dialami Abdul Hadi.
“Insya-Allah ayahanda Tuan Guru (Abdul Hadi) akan menjalani suatu prosedur rawatan pada esok hari, 17 Jun 2025," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/04/ee11525f1c6eaea59942291567acbc3b.jpg)
