Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, berkata PAS mampu membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi jika parti itu menggabungkan prinsip moral yang jelas dengan tadbir urus yang baik dan pendekatan yang inklusif.
Dalam satu kenyataan, Zaid turut menegur pihak yang sering meremehkan keupayaan PAS.
“Sejarah membuktikan bahawa kepimpinan ulama mampu memimpin negara dalam waktu sukar. Lihat saja Iran.
“Dengan bimbingan Majlis Ulama — sekumpulan ulama berpegang teguh kepada prinsip ideologi — Iran bukan sahaja mampu bertahan, malah kekal berdikari walaupun berdepan perang dan sekatan ekonomi bertahun-tahun daripada kuasa besar dunia,” katanya di Facebook semalam.

PAS, yang merupakan sebahagian daripada PN, kini mempunyai jumlah kerusi terbanyak di Dewan Rakyat iaitu 43 kerusi, dan mengetuai kerajaan negeri di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Namun, Zaid mengakui ulama PAS mungkin belum setanding dengan tokoh ulama di Iran.
Katanya, kelemahan utama PAS ialah kegagalannya menjelaskan visi nasional parti itu secara berkesan.
Walaupun begitu, PAS tetap mempunyai banyak kelebihan seperti disiplin organisasi yang kukuh dan kemampuan mendekati rakyat akar umbi.
Tambahnya, satu lagi kekuatan PAS ialah pemimpinnya yang bebas daripada skandal rasuah.
“Pemimpin mereka umumnya bersih daripada skandal kewangan, dan ini memberi kelebihan untuk membanteras sistem yang korup.
“Dengan kepimpinan dan visi yang betul, PAS mampu membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik,” katanya.
