Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kejayaan bedah jantung Hadi bukti kepakaran setanding negara maju - Tuan Ibrahim
Diterbitkan:  Jun 18, 2025 12:20 PM
Dikemaskini: 4:20 AM

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kejayaan pembedahan dijalani Abdul Hadi Awang bukan sahaja melegakan para pendukung dan ahli PAS yang amat menyayangi presiden PAS itu.

Bahkan jelasnya, ia membuktikan Malaysia memiliki kepakaran dan fasiliti perubatan yang setanding dengan negara-negara maju.

Kejayaan pembedahan ini membuktikan bahawa negara kita memiliki kepakaran dan fasiliti perubatan yang setanding dengan negara-negara maju.

"Beberapa jam sebelum prosedur dijalankan, saya bersama beberapa pimpinan kanan parti diberi taklimat oleh pasukan pakar yang merawat tuan guru presiden.

"Saya dapat melihat sendiri betapa tinggi komitmen yang ditunjukkan oleh pasukan ini dalam melaksanakan pembedahan tersebut. 

“Sesungguhnya, dengan ketabahan, kesungguhan, kepakaran, serta doa yang dipanjatkan oleh semua pihak kepada Allah SWT, akhirnya tuan guru presiden telah selamat menjalani pembedahan," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam Abdul Hadi, dilaporkan selamat menjalani prosedur rawatan kesihatan di sebuah hospital.

Setiausaha politiknya, Syahir Sulaiman, berkata perkembangan itu dimaklumkan sendiri oleh anak kepada Ahli Parlimen Marang terbabit, Muhammad Khalil.

Bagaimanapun menurut maklumat yang diberikan itu, tiada pelawat yang dibenarkan untuk menziarahi ahli politik berusia 77 tahun itu.

Tuan Ibrahim menyatakan rasa syukur dan merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada kepada semua yang terlibat, khususnya pasukan pakar dan jururawat di Institut Jantung Negara (IJN).

"Alhamdulillah, prosedur yang dijalani oleh tuan guru presiden berjalan lancar dan berjaya. Justeru, mewakili PAS, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan pakar Institut Jantung Negara (IJN) yang telah berjaya melaksanakan prosedur rawatan jantung itu.

"Tidak dilupakan juga kepada semua yang telah mendoakan kesejahteraan tuan guru presiden sepanjang beliau menerima rawatan di IJN.

"Semoga Allah SWT membalas jasa dan pengorbanan semua pihak dengan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS