Datuk Ismail Omar dilantik Timbalan KPN baru
Datuk Ismail Omar dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Negara yang baru berkuatkuasa esok (13 November) bagi menggantikan Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz yang akan bersara.
Datuk Ismail Omar dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Negara yang baru berkuatkuasa esok (13 November) bagi menggantikan Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz yang akan bersara.
Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan pelantikan Ismail menggantikan Najib dalam satu kenyataan hari ini.
Kataya, pelantikan Ismail diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin atas nasihat Perdana Menteri setelah diperakukan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis, demikian menurut laporan Bernama.
Abdul Aziz yang juga Setiausaha Suruhanjaya Pasukan Polis berkata. Ismail sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan, Bukit Aman.
Ismail, 54, yang dilahirkan pada 17 Mei 1953 di Kulim, Kedah, berkelulusan Ijazah Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia.
Beliau memulakan perkhidmatannya sebagai inspektor polis pada 15 Disember 1971, Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Negeri Sembilan (1972), Pegawai Penyiasat di IPD Ipoh, Perak (1977) dan ASP Siasatan Tatatertib, Bukit Aman (1983).
Pada 1994, Ismail memegang jawatan Pegawai Pendakwa Mahkamah Ipoh, Perak; Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (1996); ACP Pendakwaan/Undang-undang dan Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman (1999).
Pada tahun 2004, Ismail dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah II, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman (2004); Timbalan Pengarah II, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman (2005); Ketua Polis Negeri Selangor (2006) dan Pengarah Jabatan Pengurusan, Bukit Aman (2007) hingga kini.

