Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Razarudin cadang wujudkan kementerian khusus untuk polis

Ketua Polis Negara (KPN) ke-14 Razarudin Husain mencadangkan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) diletakkan di bawah satu kementerian khusus, bagi memantapkan penugasan dan pengurusan pasukan itu.

Razarudin berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta Kementerian Dalam Negeri bagi pertimbangan dan kerana ia adalah amalan biasa pentadbiran di negara-negara lain seperti China, Brazil, Vietnam, Korea Selatan selain Brunei.

“Saya melihat keperluan ini sebagai suatu resolusi penting, untuk memastikan PDRM terus relevan selari dengan evolusi era globalisasi dan digital masa kini.

“Saya optimis bahawa resolusi ini akan membawa kebaikan dan perubahan besar dalam memperkasakan perkhidmatan awam demi kemaslahatan bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu pada majlis itu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai KPN ke-15 bagi menggantikan Razarudin berkuat kuasa hari ini.

Majlis Serah Terima Tugas itu disaksikan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta pegawai kanan PDRM.

Dalam ucapannya itu, Razarudin turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas sokongan pelbagai pihak sepanjang tempohnya memimpin pasukan keselamatan itu sejak Jun 2023 dan sepanjang lebih 42 tahun dia berkhidmat dalam PDRM.

Anak kelahiran Dengkil, Selangor itu turut mengingatkan seluruh anggota agar terus memelihara integriti dan menjadikan nilai tata kelola baik, sebagai teras penyampaian perkhidmatan.

“Sebagaimana diketahui, masalah integriti, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa masih membelenggu imej serta menimbulkan stigma terhadap pasukan dan seluruh warganya.

“Kepatuhan terhadap Arahan Ketua Polis Negara No. 191 – Total Enforcement ke atas Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tetatertib) 1993 adalah amat perlu dan dipandang serius,” katanya.

Razarudin dalam ucapannya itu turut mendoakan agar Mohd Khalid mampu menerujui pasukan Sang Saka Biru itu ke arah lebih banyak kejayaan pada masa depan.

“Saya percaya pemilihan ini adalah berdasarkan pengalaman dan kredibiliti Mohd Khalid yang diyakini untuk memimpin PDRM ke mercu kegemilangan. Saya mendoakan semoga dia dapat menggalas amanah yang diberikan ini dengan sebaiknya,” katanya.

Selesai Majlis Serah Terima Tugas, Razarudin seterusnya menerima lintas hormat Panji-Panji Utama, Panji-Panji Batalion dan Panji-Panji Unit PDRM dalam majlis Paluan Berundur.

Razarudin yang hadir ke majlis berkenaan bersama isterinya Zainah Othman, turut menerima Hormat Panglima daripada gabungan anggota dan pegawai semua jabatan dalam PDRM, pada majlis yang turut diserikan dengan lintas hormat Pasukan Gerakan Udara PDRM, persembahan pancaragam dan deklamasi puisi.

Majlis Paluan Berundur diakhiri dengan penurunan bendera Sang Saka Biru sebelum Razarudin menaiki kenderaan istiadat untuk menandatangani buku pelawat di Bilik Pengawal Pulapol, sebelum meninggalkan majlis.

Razarudin yang menyertai PDRM pada 1982, dilantik sebagai KPN ke-14 selama dua tahun secara kontrak selepas bersara, berkuat kuasa 23 Jun 2023 dan akan menamatkan perkhidmatannya Ahad ini.

Sepanjang perkhidmatan, Razarudin telah menjawat beberapa jawatan penting antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang pada 2016, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah (2016), Timbalan Ketua Polis Perak (2018), Ketua Polis Perak (2019), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (2020) dan Timbalan Ketua Polis Negara (2021).

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS