Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek Sama bimbang 'salah guna' DNAA
Diterbitkan:  Jun 21, 2025 3:00 PM
Dikemaskini: 7:00 AM

Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil langkah segera memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan berikutan satu lagi kes diberikan keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh mahkamah baru-baru ini.

Kumpulan masyarakat sivil itu menggesa Anwar mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) segera memfailkan semula pertuduhan terhadap Najib Raza terkait pertuduhan menyelewengkan dana RM27 juta SRC International Sdn Bhd (SRC).

Turut menjadi kebimbangan, penangguhan selanjutnya boleh membawa kepada pembebasan penuh.

“Tanpa tindakan pantas dan telus, DNAA boleh digunakan sebagai batu loncatan ke arah pembebasan penuh dalam kes rasuah berprofil tinggi,” kata pertubuhan itu dalam kenyataan hari ini.

Projek Sama juga menggesa pelantikan tokoh perundangan berprofil tinggi dari sektor swasta sebagai pendakwa ad-hoc dalam kes berkenaan seperti pernah dilakukan apabila khidmat mendiang Gopal Sri Ram digunakan.

"Adakah DNAA kini menjadi prosedur operasi standard untuk melepaskan Najib?" tanya kumpulan itu.

Merujuk kepada keputusan pada 27 Nov tahun lalu, Projek Sama berkata keputusan beberapa hari lalu bukanlah DNAA pertama terhadap Najib.

Dalam kedua-dua kes tersebut, Projek Sama berkata, keputusan mahkamah dibuat akibat kelewatan pihak pendakwaan atau ketiadaan dokumen yang diperlukan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan DNAA kepada Najib berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka belum bersedia untuk meneruskan kes walaupun pertuduhan telah difailkan sejak Feb 2019.

“Alasan ini bukan sahaja tidak boleh diterima, malah amat membimbangkan,” kata Projek Sama.

“Kegagalan sistemik seperti ini menjejaskan integriti demokrasi Malaysia, mencemarkan kredibiliti sistem keadilan, dan mengosongkan prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang.”

Projek Sama menegaskan keputusan DNAA yang berulang-ulang akan menghakis keyakinan awam dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat antarabangsa mengenai kemungkinan berlakunya kegagalan institusi yang membolehkan skandal 1MDB berlaku.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS