GLOBAL | Rusia, China dan Pakistan telah menyerahkan draf resolusi mengenai situasi di Iran kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), menurut laporan agensi berita Mehr (MNA).
Langkah itu dibuat berikutan serangan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran, baru-baru ini.
Menurut MNA, draf resolusi berkenaan mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap tapak dan kemudahan nuklear yang aman, sambil menyatakan bahawa serangan sedemikian merupakan ancaman serius kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa serta membawa risiko besar kepada sistem kawal selia Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Draf resolusi itu turut menggesa gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.
“Ketiga-tiga negara itu menekankan keperluan agar pihak-pihak terlibat kembali ke landasan diplomasi,” menurut laporan itu.
-Bernama - MNA
