Dr M tidak sabar dan suka menyendiri, kata bekas pembantunya
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seorang yang "suka menyendiri" dan seorang yang "tidak sabar", demikian menurut tulisan bekas pembantunya dalam sebuah buku yang akan dilancarkan esok.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seorang yang "suka menyendiri" dan seorang yang "tidak sabar", demikian menurut tulisan bekas pembantunya dalam sebuah buku yang akan dilancarkan esok.
Kerana sikap tidak sabarnya itu juga, katanya, Mahathir, yang menjadi perdana menteri keempat pada tahun 1981, telah mengenepikan peraturan dan sikapnya berbeza dengan bekas-bekas perdana menteri sebelumnya.
"Keseluruhan struktur boleh dikatakan termansuh bermula dengan Mahathir," kata Ahmad Mustapha Hassan, seorang bekas setiausaha akhbar Mahathir yang menulis buku The Unmaking of Malaysia.
"Terdapat semakan dan imbangan (dalam sistem) sewaktu pentadbiran (perdana menteri kedua) Tun Abdul Razak tetapi bila sampai masa Mahathir, semuanya dibuang. Beliau amat tidak sabar," Ahmad Mustapha dalam temubualnya dengan Malaysiakini baru-baru ini.
Ahmad Mustapha, 71, juga pernah menjadi setiausaha akhbar kepada Allahyarham Abdul Razak. Buku tersebut, yang menceritakan pengalaman beliau sewaktu bertugas dengan kedua-dua pemimpin negara itu, akan dilancarkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.
Buku setebal 282 muka surat itu juga membuat perbandingan antara gaya kepimpinan Abdul Razak dan Mahathir. Ia turut mendedahkan pentadbiran politik kedua-dua perdana menteri tersebut, termasuk 'modus operandi' golongan ahli perniagaan untuk melobi bagi mendapat projek-projek mewah kerajaan.
Perbezaan personaliti
Ketika membandingkan kedua-duanya, Mustapha berkata Abdul Razak (kiri) adalah seorang yang rendah hati yang mengambil berat tentang rakyat, dan menjadikan usaha membasmi kemiskinan dan mewujudkan perpaduan sebagai keutamaan pentadbirannya.
Dalam buknya itu, Mustapha menulis bahawa Abdul Razak adalah seorang ahli politik yang memimpin rakyat dan bukannya seorang raja yang datang berjumpa rakyat untuk mendapatkan penghormatan mereka.
Sebaliknya, tegas beliau, Abdul Razak berjumpa rakyat untuk mengetahui, memahami dan mencari penyelesaikan terhadap masalah yang dihadapi penduduk luar bandar.
Dalam temubual dengan Malaysiakini itu, Mustapha turut menyentuh mengenai perbezaan sifat-sifat personaliti antara Abdul Razak dan Mahathir.
"(Abdul) Razak mendengar pandangan yang diberikan kepadanya. Setiapkali keluar negara, beliau akan bersarapan (dengan para pegawainya) untuk berbincang, beliau lebih selesa berada bersama para pegawainya.
"Mahathir hanya bersarapan dengan isterinya dan akan meminta para pegawainya mengatur mesyuarat kemudiannya untuk mengadakan perbicangan dan (beliau akan) duduk (dalam mesyuarat tersebut) dengan muka yang serius. Beliau suka menyendiri. Beliau tidak main sebarang sukan dan tidak ada kawan," kata Mustapha.
Ahmad Mustapa yang juga anak saudara Mahathir, kemudiannya menghadapi masalah dengan bekas bosnya dan melepaskan jawatannya untuk menyertai agensi berita nasional, Bernama.
Ditanya mengenai perkara itu, Mustapha berkata, puncanya adalah perbezaan visi antara Mahathir dan Abdul Razak.
"Mahathir mempunyai sesetengah idea yang tidak sehaluan dengan saya, seperti mengenai kemiskinan luar bandar," jelasnya.
Pak Lah mengecewakan
Dalam bukunya, Mustapha turut menyentuh mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Mahathir pada tahun 2003.
Menurutnya, Abdullah telah berbalik kepada matlamat yang diperjuangkan oleh Abdul Razak untuk membasmi kemiskinan penduduk luar bandar.
"Beliau memilih untuk berbalik kepada versi asal (Abdul) Razak untuk membasmikan kemiskinan terlebih dahulu," tulisnya.
Bagaimanapun, semasa tembual dengan Malaysiakini, Mustapha menyuarakan kekecewaannya terhadap Abdullah, yang menurutnya 'gagal melaksanakan misi tersebut'
"Beliau bermula dengan baik, dengan ungkapan seperti 'bekerja dengan saya' tetapi tiada tindakan yang diambil. Ok, kita hantar seseorang ke angkasa lepas, tetapi apa yang dapat?
"Saya sangka beliau menghabiskan banyak masa di dalam negara, terutama di kawasan luar bandar. Tetapi tidak, beliau menghabiskan lebih banyak masa di luar negara," katanya.
Mustapha juga menempelak dasar ekonomi Abdullah, yang menyaksikan pembukaan siri koridor ekonomi di seluruh negara.
"Anda tidak boleh mengharapkan (menantu Abdullah) Khairy (Jamaluddin) untuk menasihatkan Pak Lah (Abdullah) kerana dia dari bandar. Mungkin terdapat banyak koridor ekonomi (sekarang), tetapi semuanya mungkin satu gimik pilihanraya semata-mata," katanya.
Khairy, 32, lulusan Universiti Oxford, pernah dianggap oleh Mahathir sebagai Perdana Menteri 'de fakto' Malaysia. Berita asal

