Bekas menteri sumber manusia, V Sivakumar, dilantik menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bagi penggal ini yang akan berlanjutan sehingga 2028.
Selain Sivakumar, turut dilantik menganggotai CEC itu ialah Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Untuk rekod, Hui Ying turut bertanding dalam pemilihan CEC ketika kongres tahunan parti itu berlangsung pada Mac lalu. Bagaimanapun adik kepada Lim Guan Eng itu gagal memperoleh sokongan mencukupi untuk berada dalam 30 calon yang mendapat undi tertinggi.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memberitahu lapan lagi ahli parti yang dipilih menyertai CEC ialah:
1. Yeoh Soon Hin (Adun Paya Terubong)
2. M Thulsi (Adun Buntong)
3. V Paparaidu (Adun Banting)
4. Yap Yee Vonne (Penolong Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)
5. Chen Kah Eng (Adun Stulang)
6. Kelvin Yii (Ahli Parlimen Bandar Kuching)
7. Wu Him Ven (bekas Ahli Parlimen Teluk Intan)
8. Sheikh Umar Bagharib Ali (Naib Pengerusi DAP Johor)
Sivakumar merupakan Ahli Parlimen Batu Gajah yang dilantik menganggotai kabinet selepas PRU ke-15 lalu. Bagaimanapun dia tidak berkhidmat lama di kementerian berkenaan apabila digugurkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pada Dis 2023.
Sivakumar mula berkhidmat sebagai menteri pada Dis 2022. Dia juga pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Perak.
Tempatnya digantikan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.
Pertukaran tersebut dilatari oleh siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandar pengambilan pekerja asing.
Ia menyaksikan ahli politik berusia 54 tahun itu dipanggil dua kali oleh SPRM bagi memberi keterangan.
Projek sekolah politik
Sama seperti Hui Ying, Sivakumar turut menawarkan diri bertanding dalam kongres DAP baru-baru ini dan tidak mendapat undi yang mencukupi bagi menempatkan dirinya dalam 30 calon tertinggi.
Sementara itu Loke juga mengumumkan beberapa pelantikan lain.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ramkarpal Singh, dilantik sebagai pengerusi biro undang-undang, manakala Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Stampin) menjadi ketua ahli parlimen DP.
Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, dilantik sebagai penasihat kedua DAP, manakala bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua mengetuai jawatankuasa disiplin parti.
Loke juga mengumumkan lapan pemimpin mewakili DAP dalam Majlis Presiden PH. Mereka ialah Loke sendiri, diikuti Guan Eng (Ahli Parimen Bagan), Gobind Singh Deo (Damansara), Chong, Syahredzan Johan (Bangi), Teo Nie Ching (Kulai) dan Woo Kah Leong (Adun Pasir Bedamar).
Dalam kenyataan sama, Loke memberitahu CEC bersetuju untuk memulakan projek pembinaan ibu pejabat baru parti itu sebagai memenuhi keperluan pertambahan keahlian serta urusan pentadbiran yang kian meningkat.
"Projek Wisma DAP itu akan diketuai oleh Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han," katanya.
Ketika ini ibu pejabat DAP terletak di Jalan Yew yang berada berhampiran dengan Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Ia beroperasi di situ sejak hampir 15 tahun lalu.
Turut dipersetujui dalam mesyuarat CEC yang berlangsung semalam ialah penubuhan sekolah politik yang bertujuan memberi latihan kepada para pemimpin serta ahli akar umbi bagi memastikan kesinambungan pembangunan parti berkenaan.
