Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dana lebuh raya: SPRM kesan RM11 juta wang digital

SPRM membekukan sejumlah dana RM156 juta berhubung siasatan kes dakwaan penyelewengan dana pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Dalam perkembangan terbaru pula Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, pihaknya juga mengesan penggunaan RM11 juta dana dalam bentuk mata wang digital daripada sukuk berkenaan.

“Perkembangan terbaru kita dapat mengesan penggunaan wang sebanyak RM11 juta disyaki daripada sukuk yang diberikan dan digunakan dalam bentuk digital currency (mata wang digital).

“(Ia) dibelanjakan ke sesuatu perbelanjaan dan kita sedang mengesan bagaimana wang ini dikeluar dan digunakan untuk penggunaan RM11 juta,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan SPRM menyita pelbagai aset, termasuk beg tangan, barang kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai, dan kediaman mewah.

Keseluruhannya dianggarkan kira-kira RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri, bagi membantu siasatan.

Azam berkata, setakat ini seramai 55 orang saksi dirakam keterangan dan sembilan tangkapan dibuat.

Selain itu katanya, tidak kurang 10 orang saksi lagi akan dipanggil selain sebanyak 14 akaun individu dan lapan akaun syarikat dibekukan.

“Jumlah keseluruhan pembekuan akaun adalah RM156 juta (dibuat) di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla).

“Dan minuman beralkohol dan perjudian sebanyak RM24 juta (disita),” katanya.

Tambah Azam, pihaknya akan menyelesaikan kertas siasatan kes berkenaan dalam tempoh dua bulan atau lebih awal.

“Kita akan maklumkan sekiranya ada perkembangan terbaru,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS