Datuk Johari calon BN di Titiwangsa?
Timbalan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani kini disebut-sebut sebagai calon yang paling sesuai untuk bertanding kerusi Parlimen Titiwangsa dalam pilihanraya umum akan datang.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani kini disebut-sebut sebagai calon yang paling sesuai untuk bertanding kerusi Parlimen Titiwangsa dalam pilihanraya umum akan datang.
Pemilihan bekas pengerusi KFC Holding itu dijangka boleh menyelesaikan pergeseran antara ahli Parlimen sekarang, Datuk Astaman Aziz dengan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria yang telah menyuarakan minatnya untuk bertanding di kawasan tersebut.
Sumber-sumber Umno Titiwangsa memberitahu Malaysiakini, pergeseran antara Astaman dengan Norza - teman karib Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin - adalah sangat sengit.
"Norza nampaknya sangat berminat untuk bertanding di Parlimen Titiwangsa.
"Persoalannya apakah pengundi Titiwangsa boleh menerima Norza yang bukan seorang anak tempatan?" soalnya.
Norza adalah dari Umno bahagian Wangsa Maju. Ahli Parlimen kawasan tersebut ialah Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan, Yew Teong Look dari MCA.
Manakala Johari (foto) merupakan seorang tempatan dan pemimpin yang popular di kalangan ahli-ahli Umno dan majoriti pengundi di bahagian Titiwangsa.
Politik wang
Astaman pula merupakan anak kepada bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Aishah Ghani yang memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa dalam pilihanraya umum lalu.
Beliau menewaskan calon PAS, Mohamad Nor Mohamad dengan majoriti lebih 10,000 undi.
Bagaimanapun, beliau kini digantung dari jawatan ketua bahagian Wangsa Maju setelah didapati bersalah terbabit dengan politik wang oleh Lembaga Disiplin Umno dalam pemilihan parti tahun 2004.
Sebelum itu, Parlimen Titiwangsa diwakili oleh Datuk Drs Suleiman Mohamad yang juga bekas Timbalan Menteri Kesihatan.
Sulaiman kini merupakan ketua bahagian Umno Titiwangsa.
Astaman (foto) pernah berkata, beliau menerima apa sahaja keputusan parti sama mahu mengekalkan beliau bertanding di Titiwangsa atau sebaliknya.
"Jika Norza bertanding, Umno sukar untuk mempertahankan kerusi tersebut kerana beliau bukan anak tempatan, selain merupakan muka baru di kalangan penduduk Titiwangsa," kata sumber-sumber itu lagi.
Penyebaran memorandum
"Jika berbuat demikian, Umno terpaksa bekerja lebih kuat untuk mempertahankan kerusi Titiwangsa dalam pilihanraya umum akan datang," tambahnya.
Menurut sumber-sumber itu lagi, ada pihak-pihak tertentu di kalangan Umno Wilayah Persekutuan yang cuba menghalang Astaman daripada mempertahankan kerusi Titiwangsa dalam pilihanraya umum akan datang.
Katanya, seorang pemimpin pergerakan Pemuda Umno sedang melobi pihak atasan supaya menyingkirkan Astaman dalam pilihanraya umum akan datang.
Sebelum ini, Norza (foto) juga dilaporkan berdepan dengan cubaan sebilangan kecil ahli jawatankuasa Pemuda Umno bahagian Wangsa Maju untuk mengugat kepimpinannya menerusi penyebaran satu memorandum.
Berikutan itu, kesemua 12 ketua pemuda Umno wilayah telah mengadakan sidang akhbar bersama untuk menangkis dan mengutuk tindak-tanduk untuk mencemar nama baik Norza yang mereka sifatkan sebagai tidak ada asas langsung.
Menurut laporan Agenda Daily, mereka yang hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa, Zuhri Datuk Idris, Syed Mehdar Syed Abdullah (Cheras), Datuk Ahmad Zaki Zahid (Putrajaya), Rizalman Datuk Mokthar (Bandar Tun Razak), Baderisham Jolly (Bukit Bintang), Haji Kamaruddin Hassan (Segambut), Azman Taib (Kepong), Kamal Azman Damiri (Seputeh),Norazmi Mohamedan (Lembah Pantai) dan Abdullah Saad (Batu).
Dua lagi Ketua Pemuda Umno - Haji Bashir Alias (Labuan) dan Datuk Izuddin Ishak (Setiawangsa) tidak dapat hadir kerana ada urusan di luar negara. Mereka turut menandatangani satu kenyataan bersama yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Norza. Norza tidak hadir.
Memorandum lima muka surat bertajuk 'Kelemahan kepimpinan dan watak sebenar Datuk Mohamad Norza' telah disebarkan melalui di bahagian Wang Maju.

