Polis menahan tiga suspek dalam siasatan kes kematian seorang pelajar universiti di kondominium di Cyberjaya.
Ketua Polis Daerah Sepang, Norhizam Bahaman berkata, seorang lelaki dan dua wanita berumur antara 19 dan 20 tahun masing-masing ditahan di Johor dan Negeri Sembilan.
“Tangkapan dibuat dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis diterima.
“Kesemua suspek akan dimohon tahanan reman pada pagi ini di Mahkamah Sesyen Sepang untuk membantu siasatan,” katanya.
Polis mengesahkan ketiga-tiga mereka juga merupakan kenalan mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” kata Norhizam.
Semalam, dia berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan siasatan awal mendapati tiada tanda-tanda pecah masuk.
Pemeriksaan lanjut ke atas mayat mendapati terdapat kecederaan di kepala akibat trauma tumpul, dan tiada tanda-tanda kecederaan rogol.
Beberapa pihak tampil menggesa keadilan untuk Maniishhapriet, yang ditemui mati di penginapan luar kampus di Cyberjaya.
Motif jenayah masih belum dapat dipastikan, tetapi ketua portfolio pendidikan Perikatan Nasional (PN) Saifuddin Abdullah berkata ia menimbulkan kebimbangan serius berhubung keselamatan pelajar di institusi pengajian tinggi swasta.
Justeru, Saifuddin menggesa siasatan telus dijalankan segera.
Dia juga menggesa kerajaan menilai semula prosedur operasi standard keselamatan di institusi pengajian tinggi swasta, termasuk sistem keselamatan kampus, kawalan akses, dan kerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan.
