Untuk tahun ketiga-tiga berturut, penulis politik, Syed Hussein Al Attas mendakwa beliau tidak dibenarkan menjual buku politik semasa perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara yang baru berakhir Jumaat lalu.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Habib berkata, para pegawai Umno datang memberitahu beliau mengenai larangan menjual buku politik di PWTC semasa perhimpunan berlangsung.

"Saya hanya dapat menjual buku 'Khairy Perdana Menteri' hanya dua hari iaitu pada hari pertama 6 November (hari Selasa) sebelum diarah meninggalkan tempat itu pada hari berikutnya.

"Pegawai Umno tersebut datang bersama beberapa anggota polis kira-kira jam 4 petang mengarahkan saya meninggalkan tempat itu dalam masa sejam.

"Saya tidak tahu siapa pegawai berkenaan tetapi dipercayai kakitangan Ibu Pejabat Umno. Mereka tentu sudah mendapat arahan dari pihak atasan," katanya ketika ditemui di PWTC baru-baru ini.

Syed Hussein berkata, tindakan tersebut mengejutkan kerana beliau mendakwa telah mendapat kebenaran dari Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membolehkan beliau menjual buku tersebut.

Selain itu, katanya, Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Salleh juga memberi kebenaran menjual buku-buku politik.

Penulis politik bebas

Beliau berkata, semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, penulis politik bebas untuk menjual buku termasuk yang menghentam Dr Mahathir sendiri.

"Saya sendiri setiap tahun memberi buku kepada Dr Mahathir apabila beliau melawat gerai-gerai buku," katanya.

Syed Hussein berkata, jika penulis tidak dibenarkan berniaga di perhimpunan agung Umno, bagaimana mereka hendak mencari makan.

Katanya, lebih menyedihkan apabila ada perwakilan yang meminta penulis politik dikenakan tindakan kerana buku-buku politik boleh memecah belahkan perpaduan di kalangan ahli Umno.

Menurutnya, belum pernah berlaku dalam sejarah, Umno berpecah kerana buku-buku politik sebaliknya kerana perebutan jawatan sesama sendiri.

Syed Hussein berkata, penulis politik tidak menyebelahi mana-mana parti politik, sebaliknya menjadi pemerhati dan pengkritik politik negara.

Tinjauan malaysiakini di PWTC sepanjang perhimpunan agung Umno itu mendapati tiada seorang pun peniaga yang menjual buku-buku politik.

Berikutan itu terdengar perbualan beberapa perwakilan yang mereka sedang mencari buku-buku politik untuk dibeli seperti yang dilakukan sebelum ini.