Laporan Audit: 12 kakitangan awam ditahan kerja
Dua belas kakitangan awam yang didakwa di mahkamah oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) atas tuduhan menyeleweng dana awam susulan Laporan Audit Negara 2006, telah ditahan kerja, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Dua belas kakitangan awam yang didakwa di mahkamah oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) atas tuduhan menyeleweng dana awam susulan Laporan Audit Negara 2006, telah ditahan kerja, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Awam memutuskan empat pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dari Kumpulan Pengurusan dan Profesional ditahan kerja serta merta mulai 5 November lalu sehingga diputuskan oleh mahkamah.
Tindakan itu diambil mengikut Peraturan 44, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, demikian menurut laporan Bernama.
Sepanjang tempoh penahanan kerja itu, keempat-empat pegawai berkenaan dibayar emolumen bulanan 50 peratus.
Mohd Sidek berkata seorang pegawai Kumpulan Sokongan di Perkhidmatan Awam Persekutuan telah ditahan kerja serta merta dengan dibayar emolumen 50 peratus, mulai 5 November mengikut peraturan yang sama.
Seorang pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional di Perkhidmatan Badan Berkanun pula ditahan kerja dengan dibayar emolumen bulanan sebanyak 50 peratus mulai 30 Oktober lalu oleh Jawatankuasa Tatatertib Badan Berkanun berkenaan.
Separuh gaji
Enam pegawai Kumpulan Sokongan di Perkhidmatan Awam Negeri telah ditahan kerja dengan dibayar emolumen bulanan sebanyak 50 peratus juga sepanjang tempoh penahanan kerja masing-masing.
Empat daripada mereka ditahan kerja mulai 23 Oktober manakala dua yang lain mulai 24 Oktober
Mohd Sidek berkata sekiranya mahkamah mendapati pegawai-pegawai itu disabitkan kesalahan atas pertuduhan yang dikenakan, ketua jabatan mereka boleh mengesyorkan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib berkenaan supaya pegawai itu digantung kerja di bawah peraturan yang berkuatkuasa mulai tarikh pegawai disabitkan kesalahan oleh mahkamah.
Seterusnya ketua jabatan perlu mengesyorkan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan sama pegawai itu dikenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat, dikenakan hukuman selain daripada buang kerja atau turun pangkat, ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam atau membebaskan pegawai daripada dikenakan sebarang hukuman tatatertib.
Keputusan Pihak Berkuasa Tatatertib berkenaan bergantung kepada tahap keseriusan kes serta setakat mana kesalahan yang dilakukan mencemar dan menjatuhkan imej perkhidmatan awam.

