Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan kerajaan agar memastikan tiada campur tangan politik atau pengaruh daripada pembekal dalam proses perolehan pertahanan.
“Pucuk pimpinan ATM juga hendaklah sentiasa amanah dan tidak terlibat dalam sebarang perlakuan rasuah. Selaku pemerintah tertinggi ATM, saya tidak akan bagi muka kepada sesiapa juga yang menggunakan kedudukan untuk kesenangan peribadi,” titah Sultan Ibrahim seperti dipetik Bernama, hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah itu semasa Istiadat Perbarisan dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia di Kem Perdana, Sungai Besi di Kuala Lumpur, hari ini.
Sultan Ibrahim turut melahirkan kebimbangan berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan anggota tentera, serta mengingatkan mereka agar tidak berkongsi segala maklumat di platform awam, khususnya berkaitan penempatan pasukan, lokasi unit, dan maklumat sensitif lain.
Menurut Sultan Ibrahim, konflik antara Iran dan Israel memperlihatkan bagaimana kedua-dua pihak dengan mudah mengeksploitasi maklumat yang diperoleh melalui syarikat teknologi, aplikasi pintar dan media sosial untuk melancarkan serangan.
“Saya mahu perkara ini dihentikan serta-merta. Guna akal fikiran dan jangan kita mendedahkan pelbagai perkara untuk tontonan umum.
“Adalah lebih baik kita beringat, supaya tidak menyesal kelak di kemudian hari,” titah Sultan Ibrahim lagi.
Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa landskap politik global yang semakin mencabar dan tidak menentu menuntut angkatan tentera untuk sentiasa bersedia, termasuk memiliki teknologi pertahanan terkini untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Merujuk kepada konflik Iran-Israel dan keadaan di Gaza, baginda menegaskan bahawa situasi itu menunjukkan undang-undang antarabangsa sahaja tidak lagi memadai untuk menjamin keamanan dunia.
