Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganjur himpunan dakwa polis bertindak kasar, akan buat aduan rasmi
Diterbitkan:  Jun 29, 2025 6:39 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Penganjur Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 semalam mengecam tindakan polis yang menurut mereka bertindak kasar ketika himpunan semalam.

Secara khusus, Sekretariat Rakyat Benci Rasuah membangkitkan tindakan seorang anggota polis yang didakwa bertindak kasar dan melanggar undang-undang ketika persembahan teater semasa himpunan itu.

“Ketika persembahan masih berlangsung secara aman dan tidak menimbulkan sebarang ancaman keselamatan, anggota polis berkenaan telah merangkul leher salah seorang mahasiswa secara tiba-tiba, tanpa sebarang amaran mahupun sebab yang munasabah.

“Apabila ditanya berkali-kali oleh mahasiswa dan peserta himpunan, anggota polis tersebut gagal memberikan sebarang alasan bagi tindakannya,” kata sekretariat tersebut dalam kenyataan hari ini.

Mereka mendakwa pelajar terbabit turut ditarik dan diheret dengan kasar, mengakibatkan berlakunya pergelutan fizikal sehingga bajunya koyak.

“Ini adalah satu bentuk penggunaan kekerasan yang tidak wajar, berlebihan dan tidak berkadar terhadap seorang mahasiswa yang tidak bersenjata dan tidak melakukan sebarang provokasi,” kata mereka.

Pihak penganjur bagaimanapun tidak menyebut bahawa suar telah dibakar di penghujung persembahan, menyebabkan asap merah menyelubungi kawasan berhampiran Dataran Merdeka.

Terdahulu hari ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan tiga laporan telah dibuat berhubung insiden membakar suar serta pergelutan antara seorang pegawai polis dan seorang peserta himpunan.

"Pada jam lebih kurang 4.30 petang, seorang peserta telah membakar suar hingga menyebabkan kepulan asap tebal yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan peserta, petugas keselamatan dan juga orang awam berdekatan.

"Ekoran dari tindakan tersebut, pihak polis telah mengambil tindakan pencegahan untuk memastikan asap dari suar itu tidak merebak,” katanya dalam kenyataan.

Dia berkata tindakan pencegahan itu menyebabkan seorang anggota polis cedera ringan.

Sementara itu, Sekretariat Rakyat Benci Rasuah memaklumkan mereka akan membuat laporan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan Suhakam berhubung cubaan tangkapan tanpa sebab yang sah serta dakwaan kekasaran terhadap peserta himpunan.

“Kami juga mengecam keras laporan berita palsu, berat sebelah dan bersifat manipulatif yang diterbitkan di beberapa laman media.

“Laporan-laporan tersebut bersifat tidak beretika, menyebarkan naratif ‘polis sebagai mangsa’ dan mengabaikan penderaan serta pencabulan hak peserta yang telah dirakam dan akan didedahkan kepada umum,” dakwa mereka.

Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 berakhir dengan aman selepas berlangsung kira-kira tiga jam dengan empat tuntutan dikemukakan kepada kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS