Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal Sabah: Albert ikrar terus lawan, masih simpan banyak bukti

Ahli perniagaan Albert Tei menegaskan akan terus berjuang dan mendedahkan lebih banyak penyelewengan selepas menghadapi pertuduhan memberi rasuah.

Albert yang sebelum ini membongkar skandal berkenaan, berkata dia masih menyimpan banyak bukti yang tidak dijangka dan tidak akan gentar menghadapi proses undang-undang yang panjang.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, Albert berkata bukti-bukti yang dimilikinya akan didedahkan apabila tiba waktunya.

"Saya ingin memberitahu kepada orang-orang besar tersebut, saya masih pegang banyak bukti yang tidak disangka oleh mereka dan bukan sahaja melibatkan YB dan Adun yang didedahkan sebelum ini.

"Saya akan membongkarkan lebih banyak kekotoran dan kesalahan mereka apabila tiba masanya,” katanya.

Pada hujung minggu lalu, beberapa bukti tambahan muncul yang dikatakan mengaitkan enam lagi ahli politik dalam skandal perlombongan di Sabah.

Antara yang didakwa terlibat ialah pemimpin tertinggi parti STAR dan PBS, iaitu komponen utama kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presiden STAR, Jeffrey Kitingan, dan Timbalan Presiden PBS, Jahid Jahim, masing-masing menafikan tuduhan yang dikaitkan dengan mereka.

Mengaku tidak bersalah

Albert hari ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi rasuah mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Dia dituduh memberi rasuah kepada Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Andi Suryady Bandy, serta Adun Sindumin, Yusof Yacob, bagi mendapatkan bantuan dalam permohonan lesen cari gali mineral di negeri itu.

Pertuduhan ini dibuat lebih tujuh bulan selepas skandal itu terbongkar.

Bercakap kepada pemberita di luar Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Albert berkata dia telah memberi kerjasama kepada SPRM sejak Oktober tahun lalu, namun kesal kerana turut didakwa bersama mereka yang menerima rasuah.

“Ya, hari ini dua orang didakwa. Saya jamin esok akan ada lagi pemberi maklumat yang akan didakwa.

“Saya akan terus perjuangkan keadilan. Jangan guna cara ini untuk tekan saya,” katanya selepas membayar ikat jamin.

Albert turut menyatakan tindakan terhadap pemberi maklumat sepertinya boleh menakutkan individu lain untuk tampil ke hadapan.

Dia juga meluahkan rasa kecewa kerana hanya dua ahli politik didakwa meskipun telah menyerahkan pelbagai bukti, termasuk yang mengaitkan beberapa menteri Sabah dan Speaker DUN kepada SPRM.

"Ikan bilis dah ditangkap dan dituduh, bagaimana dengan jerung-jerung yang tertinggal?

"Dua orang saja dituduh, bagaimana dengan tujuh orang lain terutamanya ketua menteri Hajiji Noor.

"Saya dah serah bukti kepada SPRM, malah yang lain-lain YB yang belum dituduh termasuk menteri, speaker, semua, itu bukti lagi kukuh.

"Adakah dua orang (ahli politik yang didakwa) ini kabel tak kuat?" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS