Tindakan membuat rayuan bagi bekas ahli Umno untuk diterima kembali kepada parti bukanlah soal tunduk, sebaliknya merupakan tanggungjawab kepada wadah yang pernah membesarkan nama dan perjuangan mereka, kata Exco Wanita Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid.
Meskipun tidak menyatakan secara jelas, kenyataan Nurulhidayah yang juga anak Presiden Umno Zahid Hamidi itu menyusul sehari selepas Hishammuddin Hussein memberi bayangan untuk tidak akan membuat rayuan berhubung penggantungan keahliannya oleh parti itu.
Tegas Nurulhidayah, Umno adalah parti yang dibina atas dasar kesetiaan, disiplin dan prinsip perjuangan sentiasa membuka pintu kepada pejuang-pejuannya.
"Umno adalah parti yang dibina atas dasar kesetiaan, disiplin dan prinsip perjuangan, bukan sekadar nama atau legasi. Sejarah Umno sarat dengan pengorbanan para pejuang yang meletakkan parti di hadapan kepentingan peribadi.
"Maka setiap keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi Umno, khususnya berkaitan disiplin, bukan bersifat peribadi, tetapi demi menjamin kestabilan dan kelangsungan parti.
"...Rayuan bukan soal tunduk, ia adalah tanda tanggungjawab kepada wadah yang pernah membesarkan nama dan perjuangan mereka yang pernah berada di dalam kepimpinan parti," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nurulhidayah berkata kebangkitan Umno bukan hanya kerana tokoh, tapi kerana semangat juang ahlinya yang tak pernah mati.
Semalam, Hishammuddin yang juga bekas naib presiden Umno, memberi gambaran yang dia tidak akan mengemukakan rayuan sendiri bagi membolehkan penggantungan keahliannya ditarik balik oleh parti berkenaan.
Menurut Hishammuddin, dia tidak bercadang untuk berbuat demikian atas dasar prinsip, selain mendakwa dia tidak diadili dengan baik sebelum keputusan diambil untuk menggantungnya pada Jan 2023.
Malah, menurut Ahli Parlimen Sembrong itu, keputusan yang dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno baru-baru ini juga mendedahkan perbezaan di antara "mereka" dan "kita".
"MKT telah membuat keputusan mereka. Keputusan ini mencerminkan siapa mereka, bukan siapa kita. Mereka telah buat keputusan.
"Dan sekarang saya teruskan langkah ke hadapan dengan bermaruah dan berprinsip. Inilah perjuangan nilai dan makna.
"Rayuan bukan penentu kesetiaan saya. Prinsip di dalam parti yang menentukan kesetiaan kita sebagai orang parti," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebooknya.
Sementara itu, Nurulhidayah berkata ada dalam kalangan pemimpin Umno telah memilih untuk menyatakan pendirian terhadap perjuangan parti adalah satu isyarat jelas bahawa dia telah memilih jalan yang berbeza.
"Umno tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pejuang lama atau baru, tetapi pintu itu hanya terbuka kepada mereka yang jujur, terbuka, dan bersedia memperbetulkan pendirian demi kekuatan kolektif parti.
"Kepimpinan yang masih setia mengakui bahawa Umno kini berada dalam fasa pemulihan setelah ujian demi ujian yang telah dan sedang dijalani," ujarnya lagi.
