Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Video 'Star akan tinggalkan GRS' dipetik di luar konteks

Timbalan Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Ardino Diris menafikan penularan khabar mendakwa presiden parti itu, Jeffrey Kitingan, menyatakan hasrat untuk meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sebaliknya Ardino menyebut bahawa video itu dipetik di luar konteks - dengan sebahagian daripada perbualan Jeffrey telah disunting.

"Ia tidak menyebut bahagian di mana Jeffrey bercakap tentang pembahagian kerusi," katanya kepada Malaysiakini.

Ardino juga turut meremehkan dakwaan kemungkinan Star akan meninggalkan gabungan itu.

"Saya tidak fikir ia akan berlaku. Saya percaya Jeffrey, Timbalan Ketua Menteri Joachim Gunsalam (pemangku Presiden PBS), dan Ketua Menteri Hajiji Noor telah pun membincangkan perkara ini secara terperinci," tambahnya.

Semalam, muncul video ringkas yang menunjukkan Jeffrey menyatakan hasrat partinya untuk meninggalkan gabungan parti kerajaan Sabah.

Klip berdurasi 13 saat itu diterbitkan oleh portal berita MalaysiaNow di TikTok.

Dalam video itu, dia yang juga Timbalan Ketua Menteri I Sabah berkata: "Ya, kita akan keluar dari GRS. Tapi masih bersama dalam kerajaan.

Bagaimanapun, MalaysiaNow memetik seorang pegawai Jeffrey yang tidak dinamakan mendakwa "kenyataan itu dipetik di luar konteks dan melibatkan perkara yang berbeza".

Menurut Ardino, kenyataan Jeffrey merujuk kepada perbincangan dalaman mengenai agihan kerusi dalam kalangan pemimpin GRS menjelang pilihan raya negeri akan datang.

"Dia merujuk kepada senario di mana Star mungkin hanya diberi lapan kerusi yang sama. Dalam kes itu, dia berkata dia tidak mahu," kata Ardino, yang mendakwa telah menonton video penuh.

Rakaman ahli parti

Star kini memegang enam kerusi dalam DUN Sabah. Ia adalah salah satu komponen utama GRS, bersama Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP), dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS). PBS memegang tujuh kerusi.

Ardino berkata Jeffery telah mencadangkan formula agihan kerusi baru kepada kepimpinan GRS - dirujuk secara dalaman sebagai "formula Jeffrey".

Melaluinya Star akan bertanding 12 kerusi – sekali gus menggandakan jumlah semasanya –manakala PBS akan bertanding 14 - menjadikan jumlah keseluruhan kepada 26 kerusi.

Cadangan tersebut adalah sebahagian daripada perbincangan yang lebih luas antara Star dan PBS berhubung kemungkinan penggabungan dua parti itu yang akan dikenali sebagai PBStar.

Ardino berkata Star Sabah bercita-cita untuk mengikuti model politik Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang kekal bebas daripada gabungan politik nsional dan berunding untuk sokongan di peringkat persekutuan berdasarkan kepentingan negeri.

Sementara itu Jeffrey ketika dihubungi turut menafikan dakwaan seperti dikaitkan dengan video berkenaan.

“Jika saya memang berniat (untuk keluar dari GRS), bukankah saya akan menggunakan media sepenuhnya?” katanya secara ringkas kepada Malaysiakini, menunjukkan bahawa video itu dirakam oleh seorang ahli parti semasa mesyuarat ulang tahun kesembilan Star pada hari Selasa.

Dia menambah individu yang merakam video tersebut terlebih dahulu bertanya apa tindakan akan diambil sekiranya GRS terpaksa bekerjasama dengan BN dan PH dalam pilihan raya negeri akan datang.

Jeffrey merupakan antara beberapa ahli politik Sabah yang dituduh terlibat dalam skandal rasuah lesen perlombongan.

Pada hari Sabtu lalu, Malaysiakini telah menerbitkan enam tangkap layar yang, menurut satu sumber, diambil daripada rakaman video yang didakwa mengaitkan pemimpin tertinggi dari parti Star dan PBS.

Malaysiakini telah melihat rakaman tersebut tetapi tidak diberi kebenaran untuk menyiarkannya.

Sumber tersebut mendakwa Jeffrey menerima rasuah sebanyak RM1.78 juta yang berkaitan dengan skandal berkenaan.

Jeffrey telah menafikan dakwaan tersebut tetapi mengesahkan bahawa dia bertemu dengan ahli perniagaan Albert Tei sekitar waktu rakaman video yang didakwa itu dibuat. Beliau juga merujuk kepada “tangan ghaib” yang cuba menggugat kestabilan kerajaan negeri.

Sementara itu, Ardino menolak dakwaan rasuah yang dikaitkan terhadap Jeffrey dengan mengatakan ia adalah sebahagian daripada usaha terancang untuk merosakkan reputasi ahli politik terbabit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS