Pemilihan Johari penuhi hasrat ahli Umno Titiwangsa
Kalangan pemimpin Umno Titiwangsa menganggap, sekiranya Datuk Johari Abdul Ghani dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Titiwangsa, maka ia selaras dengan resolusi mesyuarat perwakilan bahagian itu yang diadakan Julai lalu.
Kalangan pemimpin Umno Titiwangsa menganggap, sekiranya Datuk Johari Abdul Ghani dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Titiwangsa, maka ia selaras dengan resolusi mesyuarat perwakilan bahagian itu yang diadakan Julai lalu.
Dalam mesyuarat tersebut, yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, satu resolusi diluluskan supaya kerusi tersebut diberikan semula kepada calon tempatan dalam pilihanraya umum akan datang.
Ahli Parlimen Titiwangsa sekarang ialah Datuk Astaman Aziz (kiri). Bagaimanapun, beliau adalah dari Umno bahagian Wangsa Maju. Astaman merupakan ketua Umn bahagian Wangsa Maju sehinggalah dia digantung dari jawatan tersebut pada 2004 selepas didapati terbabit dalam politik wang.
Satu lagi nama yang disebut-sebut berminat untuk bertanding kerusi tersebut adalah Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria, yang juga dari bahagian Umno Wangsa Maju.
Johari (kanan), bekas Pengerusi KFC Holding Berhad, merupakan timbalan ketua Umno Titiwangsa dan beliau telah menjadi ahli Umno bahagian tersebut selama 19 tahun.
Sumber-sumber dari bahagian Titiwangsa memberitahu, sebelum ini Astaman, semua ahli Parlimen Titiwangsa adalah dari kalangan penduduk tempatan, termasuk ketua bahagian itu sekarang, Datuk Drs Sulaiman Mohamad, yang pernah menjadi ahli Parlimen kawasan itu selama tiga penggal.
"Bahagian Titiwangsa mempunyai sentimen yang kuat dengan memori perhimpunan Umno di Kampung Baru," kata sumber itu.
'Pemimpin setia'
Umno bahagian tersebut mempunyai 87 cawangan dengan keahlian seramai kira-kira 20,000 orang. Jumlah pengundi berdaftar pula adalah seramai 48,000 orang.
Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, pemimpin bahagian sentiasa menyokong calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding di Titiwangsa.
"Johari juga seorang pemimpin yang setia kepada parti. Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan, termasuk dalam pergerakan Pemuda.
"Beliau juga seorang yang merendah diri dan tidak suka menimbulkan masalah dengan pemimpin-pemimpin Umno lain," katanya.
Semalam, sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa pemilihan Johari dijangka dapat menyelesaikan krisis perebutan kerusi Parlimen antara Astaman dengan Norza (kiri).
Menurutnya, pergeseran antara Astaman dengan Norza - teman karib Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin - adalah sangat sengit.
"Norza nampaknya sangat berminat untuk bertanding di Parlimen Titiwangsa sedangkan Astaman telah menunjukkan prestasi kerja yang baik dan disenangi oleh penduduk Titiwangsa," katanya..

