Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini mengubah pendirian awalnya dan mengumumkan akan mengadakan siasatan awam terhadap kejadian rusuhan di Batu Buruk, Kuala Terengganu pada 8 September lalu - khususnya mengenai insiden tembakan peluru hidup ke arah orang ramai.

Sebelum ini, Suhakam berkata pihaknya tidak dapat mengadakan siasatan awam terhadap kejadian tersebut atas alasan perundangan.

Ceramah anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) itu bertukar menjadi rusuhan apabila ia dihentikan oleh pihak polis atas alasannya ianya perhimpunan haram.

Fokus siasatan tersebut adalah justifikasi tindakan pihak polis melepaskan tembakan peluru hidup terhadap orang ramai.

Dalam kejadian tersebut, dua orang cedera apabila seorang anggota polis melepaskan empat das tembakan peluru hidup. Anggota polis itu mendakwa, dia bertindak demikian untuk mempertahankan dirinya ketika diserang kumpulan yang bersenjatakan kayu.

Bagaimanapun, versi tersebut telah dipertikaikan. Selain menyiasat insiden tembakan peluru hidup itu, bidang kuasa panel tersebut adalah:

- Menentukan sama ada berlaku pelanggaran hak asasi manusia dan menentukan orang atau orang-orang atau agensi yang bertanggungjawab melakukan pelanggaran tersebut.

- Menyiasat bagaimana pelanggaran tersebut berlaku dan bentuk pelanggaran, prosedur yang boleh menyumbang kepada pelanggaran tersebut dan langkah-langkah untuk mencegah pelanggaran tersebut daripada berulang.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Muhammad Shafee Abdullah mengumumkan perkara tersebut dalam satu sidang akhbar di pejabat Suhakam di ibunegara hari ini.

Shafee akan mengetuai panel siasatan tiga anggota itu. Dua lagi anggotanya ialah Prof Datuk Khoo Kay Kim dan Tan Sri Asiah Abu Samah.

Saksi diperlukan

Shafee berkata, panel tersebut akan memulakan siasatannya dengan segera dan satu laporan akan disiapkan pada hujung tahun ini.

"Kita (panel) memerlukan tiga hari untuk menyiapkan siasatan tersebut, tetapi jika ada 'sebarang hal', panel mungkin memerlukan tempoh seminggu," tambahnya.

Beliau juga menggesa saksi-saksi untuk tampil memberi keterangan dan membantu panel dalam siasatannya. Siasatan awal itu akan diadakan "di tempat yang sesuai" di Kuala Terengganu.

"Kita harap pihak media akan menyiarkan rayuan kita supaya saks-saksi tampil memberi keterangan supaya mereka boleh membantu kita dalam siasatan ini - panel tanpa sebarang saksi adalah sia-sia sahaja," katanya.

Ditanya mengapa Suhakam mengubah pendirian awalnya, Shafee berkata, suruhanjaya tidak pernah menolak langsung idea untuk mengadakan sebarang siasatan awam.

"Kita tidak mengadakan siasatan awal (sebelum ini) kerana pihak polis sedang menyiasat perkara itu dan apabila kita mendapat tahu yang polis tidak menyiasat insiden tembakan tersebut, tetapi lebih menumpukan kepada isu perhimpunan awam, maka kita mengambil keputusan untuk mengadakannya (siasatan awam)," katanya.

"Akta kita (Suhakam) menyebut, sebaik sahaja proses perbicaraan atau sebarang prosiding mahkamah diadakan, maka kita tidak boleh lagi mengadakan sebarang siasatan - dan kalau kita sudah mengadakan siasatan, kita mesti menghentikannya," jelasnya.

Berdasarkan kepada penjelasan Shafee itu, Suhakam dijangka menghentikan siasatannya jika pihak polis memutuskan untuk mendakwa seseorang di mahkamah berhubung insiden tembakan tersebut.

Shafee juga berkata, kenyataan Pesuruhjaya Datuk N Siva Subramaniam yang mempertahankan tindakan polis sewaktu perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur Sabtu lalu, adalah pandangan peribadinya dan tidak mencerminkan pendirian Suhakam.

"Saya percaya Siva mengambil pendirian berkecuali. Apabila membuat kenyataan tersebut, beliau hanya berada di satu lokasi sahaja (dan tidak menyaksikan tindakan polis di lokasi yang lain) dan saya percaya beliau membuat kenyataan itu dengan niat yang baik," tambahnya.

Bagaimanapun, Shafee tidak pula menyatakan pendirian Suhakam berhubung perkara tersebut.

Siva menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak apabila beliau berkata polis hanya menggunakan 'kekuatan terhad' dan 'bertindak sepatutnya' sewaktu mengawal perhimpunan tersebut.

Berikutan itu, Bersih telah menuntut pesuruhjaya Suhakam itu supaya meletakkan jawatan tetapi Siva hanya berdiam diri. Berita asal