PAS: Semakin ramai golongan muda bersama BA
Lebih dari 70 peratus mereka yang menghadiri perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 November lalu adalah daripada kelompok generasi muda, kata Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
Lebih dari 70 peratus mereka yang menghadiri perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 November lalu adalah daripada kelompok generasi muda, kata Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
Menurut ketuanya, Kamaruzaman Mohamad, golongan ini menjadi pelapis kepada barisan generasi yang sedia ada.
Dalan satu kenyataan hari ini, beliau menyifatkannya sebagai satu petanda yang memberi pengharapan dan azam yang kuat kepada kejayaan memobilisasi rakyat pada masa-masa akan datang.
Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pemuda dan rakyat sekitar Lembah Klang yang menghadiri perhimpunan tersebut. Kira-kira 40,000 berhimpun di Istana Negara menuntut pilihanraya bersih dan adil.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyerahkan memorandum mengenainya kepada wakil Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Kamaruzaman, Pemuda PAS Wilayah yang memimpin perarakan rakyat di Masjid Jamek bersama Dr Hatta Ramli dan pimpinan lain berpuas hati dengan tahap disiplin yang ditunjukkan oleh para peserta.
"Walaupun dihambat dan disimbah air kimia serta gas pemedih mata, namun para peserta masih terus mara bersama kepimpinan.
Detik perubahan
"Dengan penuh takzim, kami juga dapat melihat bahawa perhimpunan 10 November lalu merupakan satu detik perubahan dan bukti terkini bahawa semakin ramai golongan muda yang semakin ingin berjuang bersama Barisan Alternatif (BA)," tambahnya.
Menurut Kamaruzaman lagi, PAS yang menjadi komponen penting BA, mendapat sambutan yang meluas di kalangan generasi muda di Lembah Klang.
"Peristiwa ini sesuai sekali dengan riwayat sirah Rasulullah yang sentiasa membuka ruang yang luas bagi golongan muda tampil mewarnai medan perjuangan dan dakwah.
"Ruang-ruang perjuangan yang dihamparkan oleh Rasulullah, sentiasa mendapat sambutan dan diisi oleh golongan muda yang sanggup menjadikan diri mereka sebagai perisai bagi melindungi soladariti dan hak rakyat yang berlindung di belakang mereka," katanya.
Beliau berharap golongan muda akan terus bersama-sama dalam perjuangan untuk meruntuhkan kebatilan dan menegakkan kebenaran "selagi mana jalan-jalan yang dipilih ini sentiasa kekal diatas titian al-Quran dan Sunnah".
"Himpunan rakyat itu adalah satu permulaan yang baik dan kita akan susulinya dengan pelbagai lagi aktiviti yang pastinya akan memberikan tekanan dan impak yang maksima kepada fokus demokrasi di negara ini," katanya.

