K'jaan digesa umumkan senarai projek selenggara sekolah
DAP menggesa Kementerian Pelajaran supaya mengumumkan senarai projek-projek penyelenggaraan sekolah di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
DAP menggesa Kementerian Pelajaran supaya mengumumkan senarai projek-projek penyelenggaraan sekolah di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
"Kita perlu tahu jumlah sebenarnya, sistem tender serta pemantauannya. Berapa banyak pembaziran yang berlaku? Apakah peruntukan digunakan untuk tujuannya," kata Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepong membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat semalam sewaktu Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar menjawab soalan mengenai program integrasi kaum di sekolah, termasuk peruntukan di bawah RMK9.
Di bawah program tersebut, peruntukan hampir RM5 bilion telah diberikan kepada sekolah semua aliran, dengan sekolah kebangsaan menerima RM4.3 bilion.
"Bagi tahun 2008, peruntukan kepada Kementerian Pelajaran ialah RM29.5 bilion. Ini adalah munasabah. Tetapi pemantauan tentang penggunaannya perlulah di pertingkatkan," kata Dr Tan dalam satu kenyataan.
Justifikasi projek
Menurutnya lagi, Timbalan Menteri Pelajaran itu memberitahu dewan bahawa projek-projek diberi melalui tender terbuka.
"Walaupun beliau berusaha untuk memberi justifikasi pelaksanaan projek-projek tersebut, tetapi kita masih belum yakin wujud ketelusan dan akauntabiliti yang secukupnya," kata Dr Tan lagi.
Sehubungan itu, Dr Tan mengesa kementerian berkenaan supaya mengkaji semula pelaksanaan projek-projek tersebut.
"Contohnya, apakah semua guru besar tahu mengenai peruntukan untuk menyelenggara sekolah mereka? Bagaimanakah kontraktor dilantik?
"Apakah seseorang kontraktor atau sub-kontraktor yang menentukan apa yang hendak diselenggara dan dinaik taraf?
"Siapakah yang memantau kerja-kerja kontraktor berkenaan? Bagaimanakah guru besar mengesahkan sesuatu projek itu telah siap dilaksanakan," soal beliau.

